Tiada tekanan pihak luar

STUART
STUART
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah mengambil kira tekanan daripada pihak luar sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjatuhkan hukuman kepada pengadil atau pemain.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, setiap keputusan yang dibuat berdasarkan undang-undang dan peraturan perlawanan selain FAM tidak mengamalkan sikap berat sebelah dengan mana-mana pihak.

“Kalau kami ikut tekanan daripada netizen dan penyokong, setiap perlawanan kita kena ambil tindakan. Di FAM ia tidak berlaku. FAM dengan jelas melaporkan setiap tindakan yang diambil ke atas pengadil atau pemain melalui hebahan di media sosial.

“Setiap kes yang akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib juga tiada yang terselindung dan dengan jelas menunjukkan apa yang berlaku ketika perlawanan. Jadi, kita tidak melihat tekanan daripada luar itu sebelum membuat keputusan,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Terdahulu, FAM memutuskan tiada hukuman yang akan dikenakan kepada tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera selepas menyentuh pengadil dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat lalu.

Ia berikutan pemain import skuad Harimau Selatan itu telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dalam perlawanan tersebut.

Namun, nasib berbeza dialami pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fadzrul Danel Mohd Nizam yang dibuang padang kerana menyentuh pengadil, Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April lalu.

Pada masa sama, Fadzrul Danel dijangka berdepan tindakan lebih berat apabila FAM telah pun mengeluarkan notis pertuduhan kepadanya untuk membela diri ekoran tindakannya itu.

Artikel Berkaitan:

Namun, keputusan yang dibuat FAM itu mengundang kemarahan segelintir penyokong bola sepak tempatan yang menyifatkan badan induk itu bersikap berat sebelah semasa membuat keputusan.

“Disebabkan itu, kami tak boleh nak layan setiap komen netizen ini. FAM tidak berat sebelah dan dalam situasi ini FAM tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Kami buat keputusan berdasarkan undang-undang permainan dan perlawanan selain kami ikut setiap prosedur tatatertib dan mengambil kira pandangan daripada jawatankuasa yang terlibat,” ujarnya.