‘UMNO jangan ambil tindakan radikal’

Presiden UMNO, Ahmad Zahid sepatutnya lebih fokus untuk meyakinkan ahli di peringkat akar.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid sepatutnya lebih fokus untuk meyakinkan ahli di peringkat akar.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya tidak membuat sebarang keputusan radikal ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijangka berlangsung pada Ahad.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, dalam situasi semasa, sebarang tindakan ekstrem hanya merugikan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Md Shukri, sebagai Presiden UMNO, Ahmad Zahid sepatutnya lebih fokus untuk meyakinkan ahli di peringkat akar umbi termasuk berterus terang mengenai apa sebenarnya yang berlaku antara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular baru-baru ini.

“Tindakan keluar PN (Perikatan Nasional) hanya memburukkan lagi keadaan. Percayalah lebih banyak manfaat yang UMNO dapat bila berada dalam kerajaan berbanding sebaliknya.

“Jadi, Ahmad Zahid perlu meyakinkan kembali ahli dan pimpinan UMNO terutama menjelaskan hubungan baiknya dengan Anwar sekali gus membuktikan beliau bukan seorang Presiden yang lemah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Md Shukri berkata, UMNO juga harus memikirkan situasi menang-menang bersama rakyat yang terjejas teruk angkara pandemik Covid-19 sekarang berbanding terburu-buru mahu memutuskan hubungan bersama PN.

Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau optimis segala keputusan UMNO pada MKT kali ini selari dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 melainkan jika ada desakan secara tiba-tiba daripada pihak tertentu.

“Saya tidak rasa ada elemen di luar jangkaan yang akan berlaku walaupun terdapat pelbagai spekulasi yang timbul baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Keputusan UMNO untuk kekal menyokong PN sehingga PRU15 juga dijangka tidak berubah.

“Apa yang paling utama, ini peluang terbaik untuk MKT UMNO menilai semula secara menyeluruh keputusan yang dibuat pada PAU 2020.

“Kedudukan menteri UMNO dalam kabinet sehingga PRU15 juga harus dibincangkan dengan skop yang lebih luas supaya mereka tidak tergugat.“Itu pun jika UMNO benar-benar mengutamakan rakyat berbanding hal-hal lain,” ujarnya.