Cari nasi di negeri orang

No Image Caption
A
A
A

MEMANG teruk kalau pekerja asing dilayan tidak seperti manusia. Banyak diperkatakan sekarang tentang sistem hamba moden, terutama layanan majikan kepada pekerja asing.

Pekerja asing ini katanya ada yang tidak mendapat gaji yang sepatutnya, terpaksa membayar ejen dengan jumlah yang banyak dan ada juga yang tidak boleh menyimpan telefon bimbit.

Pelik juga dalam keadaan semua orang ada telefon bimbit, mereka ini tidak dibenarkan pula. Mungkin majikan risau kalau pekerja-pekerja asing ini membuat Tik Tok agaknya.

Tempat penginapan yang disediakan majikan kepada mereka pula katanya sempit dan padat. Sehinggakan dilihat seperti kandang binatang ternakan. Kalau melihat pun tidak selesa, saya tidaklah tahu mereka merasakan bagaimana.

Selain itu, diberitahu juga dalam media yang saya baca, mereka juga ditekan untuk bekerja lebih masa dan tidak mendapat cuti. Ini yang saya baca antara aduan yang diterima oleh Persatuan Pekerja Domestik Indonesia dan Filipina.

Cuma kadang-kadang saya keliru juga, kerana saya selalu diberitahu oleh majikan yang menggunakan pekerja asing ini menyatakan, pekerja asing ini suka bekerja lebih masa, senang berurusan, rajin dan tidak suka cuti.

“Memang saya datang sini, kena kerja kuat encik. Nanti dapat gaji mahu hantar itu sana kampung,” kata Abdul dari Rohingya.

“Saya tidak cuti pun tidak apa pak. Kalau cuti tak ada wang, kerja baru ada wang,” kata Panjang pekerja Indonesia di tapak pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Begitulah jawapan daripada mereka ini apabila ditanya. Dibandingkan dengan aduan yang diterima agak bercanggah juga. Mungkin disebabkan sektor pekerjaan itu berbeza. Dalam sektor pembinaan mereka lebih suka bekerja daripada bercuti agaknya.

Pada tahun 2012 ketika saya bekerja di tapak pembinaan, saya mempunyai ramai juga kawan dari Indonesia, Bangladesh dan Rohingya. Kebiasaannya, apabila selesai waktu bekerja, kami akan lepak bersama di rumah kongsi.

Selain rumah berkongsi, mereka juga akan berkongsi masakan dan makan bersama. Setiap hari Khamis, lori menjual barang basah dan kering akan datang. Pekerja-pekerja asing ini akan berhutang dan membayar secara mingguan.

Dan mereka juga akan meminjam duit setiap hari Khamis. “Kenapa perlu pinjam? Simpan sahaja sampai hujung bulan” kata saya. “Bahaya. Takut tauke lari,” kata mereka. Selain itu, mereka juga akan tinggal di rumah kongsi, air dan elektrik secara percuma.

Seorang lagi pekerja Indonesia yang saya kenal, namanya Pak Akop sudah 10 tahun bekerja di Malaysia. Saya bertemu dengan beliau pada tahun 2012. Orang lama dan berpengalaman luas.

Isteri di dua negara

Orangnya sentiasa tenang dan kuat bekerja juga. Katanya semasa saya berkesempatan berbual dengan beliau, “Biasanya, mahu bekerja di Malaysia untuk tiga tahun saja.” “Habis kenapa dah 10 tahun masih tak pulang?” tanya saya pula.“Iya, sudah suka tinggal di sini. Lagipun isteri pun ada di sini?” katanya tersenyum sipu.

“Oh, bukan di Indonesia pun sudah ada isteri?” “Iya di Indonesia ada, di Malaysia pun ada,” katanya Pak Akop bangga.

“Oh Pak Akop ada dua isteri ya?” tanya saya membelalakkan mata.

“Bukan dua, tapi tiga,” jawab Pak Akop tergelak besar.

Begitulah bahagianya Pak Akop yang bekerja di Malaysia sebagai tukang besi. Umurnya, kalau tidak silap saya sudah mencecah 70 tahun tetapi masih kuat.

Katanya lagi, biasanya dalam tahun pertama bekerja di Malaysia, pekerja-pekerja asing ini akan menyimpan duit, hantar ke kampung untuk membeli tanah terlebih dahulu.

Kemudian untuk tahun kedua mereka menyimpan dan hantar duit lagi untuk membuat rumah. Tahun ketiga mereka akan menyimpan untuk membeli lembu pula. Maka lengkap dan senanglah kehidupan mereka apabila pulang ke Indonesia dengan memiliki tanah, rumah dan lembu menurut kata Pak Akop.

Walaupun dari satu sisi kita akan mendengar cerita positif, namun dari satu sisi lain banyak juga kita mendengar cerita negatif tentang kehidupan pekerja asing ini dalam mengharungi cabaran bak kata pepatah, mencari nasi di negeri orang.

Namun, Malaysia tetap menjadi tumpuan mereka untuk mencari sesuap nasi. Seperti kata seorang kawan Indonesia saya lagi yang sekarang sudah menjadi kontraktor besar, 'Ada gula, ada semut'.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com