X

Kindly register in order to view this article
!

Di sebalik kontroversi ESL

A
A

MINGGU lalu arena bola sepak antarabangsa digegarkan dengan pengumuman penubuhan Liga Super Eropah (ESL). Ini setelah 12 kelab terbesar di benua itu merancang membentuk pertandingan bertaraf elit mereka sendiri dan meninggalkan pertandingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang anjurkan sejak sekian lama oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Sebagai peminat setia bola sepak dan pasukan Manchester United, penulis pun turut terkejut dengan pengumuman tersebut. Idea ini sudah diutarakan sejak tahun 1990-an lagi.

Malah, gertakan kelab-kelab besar kepada UEFA terutamanya terhadap dasar berat sebelah badan induk bola sepak Eropah itu dalam aspek kewangan yang melibatkan hak penyiaran, pengiklanan serta imbuhan yang tidak adil kepada semua kelab yang bertanding dilihat menjadi pendorong idea tersebut waktu itu.

Menurut BBC, penubuhan ESL dijangka memberi pulangan berjumlah €3.5 bilion (RM20 bilion) berbanding UCL di mana setiap kelab akan mendapat pulangan sekitar €130 hingga €213 juta berbanding €78 juta menerusi UCL.

Dengan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan bola sepak global, keuntungan sebesar itu dilihat remedi terbaik kewangan kelab. Kalau dilihat, idea ESL ini mirip kepada format sukan di Amerika – NBA (bola keranjang), NFL (bola sepak Amerika) atau MLB (bola lisut) – yang melibatkan banyak perlawanan tanpa ada promosi atau penyingkiran dalam sesebuah liga.

Ia sekali gus mencipta lebih banyak perlawanan tumpuan yang menarik minat ramai penonton tanpa perlu menunggu lama. ESL membolehkan penonton di seluruh dunia menyaksikan perlawanan antara Manchester United dan Barcelona atau Real Madrid dan Liverpool hampir setiap minggu tanpa perlu menunggu lama seperti format sekarang.

Ini sekali gus akan menaikkan profil kelab tersebut terutamanya dari sudut pengiklanan, hak penyiaran, kutipan tiket dan penjualan cenderamata lantas membesarkan aliran pendapatan kelab.

Idea itu nampak membawa situasi menang-menang buat peminat dan kelab, namun persoalannya kenapa pula ia dibantah keras, terutamanya oleh peminat bola sepak itu sendiri.

Walaupun ada yang mungkin menganggap idea pasukan terbaik Eropah bertanding setiap minggu sebagai sesuatu yang menarik, ia juga menghilangkan banyak perkara yang menjadikan bola sepak begitu menarik – naratif underdog dan prospek kebarangkalian.

Mengambil perkembangan di Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, prospek kelab underdog seperti Leicester City dan West Ham United yang berkebarangkalian layak untuk bermain di UCL dengan mengisi kelompok empat teratas EPL sudah tentu akan mati kalau ESL ini berlaku.

Selain itu, ESL juga secara perlahan akan membunuh persaingan sukan itu dalam aspek ‘bukan sukan’. Kelab-kelab kecil tentunya bergelut untuk bersaing dengan kelab-kelab besar dalam menarik penonton, penaja dan aspek perniagaan lain.

Akhirnya bola sepak akan dimonopoli oleh kelab-kelab besar dan kaya sekali gus mencipta persaingan yang tidak adil kepada sukan itu sendiri. Namun di sebalik semua itu, jelas elemen kapitalisme jauh mengatasi pertimbangan lain walaupun dalam sukan yang sepatutnya menjadi hak semua. Kesemua kelab tersebut menunjukkan bagaimana ketamakan jauh mengatasi semangat kesukanan.

Tanpa segan silu, sukan hanya digunakan untuk menjana dan mengekalkan kekayaan dan jalan sentiasa dicari bagi memastikan dominasi dan kelebihan itu terus kekal di tangan mereka, sehingga sanggup mengetepikan faktor sejarah dan legasi kelab itu yang dibina oleh orang kebanyakan atas dasar cintakan bola sepak sebagai wadah penyatuan.

Akhirnya bola sepak akan dimonopoli oleh kelab-kelab besar dan kaya sekali gus mencipta persaingan tidak adil kepada sukan itu sendiri.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!