X

Kindly register in order to view this article
!

Konsesi balak Lenggeng tiada kaitan dengan YNS

A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menjelaskan bahawa siasatan isu konsesi balak di kawasan Lenggeng, di sini tidak melibatkan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Mohamad Zakkuan Talib berkata, sebaliknya, konsesi balak di kawasan tersebut telah diberikan kepada syarikat lain yang tiada kaitan dengan YNS pada 2013.

“Sebagaimana yang dimaklumkan semalam (Khamis), SPRM Negeri Sembilan bukan sahaja menyiasat isu konsesi balak di kawasan Lenggeng namun, turut menyiasat keseluruhan kawasan konsesi balak melibatkan YNS sejak 2014 lagi.

“Ini kerana SPRM Negeri Sembilan menyiasat segala aduan pembalakan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga mengakibatkan kesan buruk kepada ekosistem tadahan air serta jalan di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Justeru, beliau berharap semua pihak jelas dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana siasatan masih dijalankan.

Pada Khamis, SPRM Negeri Sembilan dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan YNS.

Pada 16 April lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan Negeri Sembilan akan memberi kerjasama kepada SPRM selain tidak akan berkompromi dalam hal tersebut.

Kenyataan Aminuddin itu dibuat susulan sehari sebelumnya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dilaporkan mendesak supaya kerajaan negeri menghentikan kerja pembalakan seluas 500 hektar di kawasan Lenggeng yang didakwa melibatkan sebuah yayasan di negeri ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!