Dua lagi kluster diisytihar di Sarawak: JPBN

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Dua lagi kluster baharu Covid-19 diisytihar di Sarawak hari ini iaitu Jalan Roban Lama Saratok dan Jalan Selirik, Kapit, dengan kedua-duanya melibatkan institusi pendidikan, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Kluster Jalan Roban Lama dikesan melalui saringan bersasar oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Betong ke atas kakitangan dan pelajar sebuah kolej tingkatan enam di Jalan Roban Lama pada 18 April dengan 40 individu didapati reaktif Rapid Test Kits (RTK) Antigen.

“Hasil saringan ulangan menggunakan ujian rT-PCR, didapati seramai 13 orang daripada mereka telah dikesan positif Covid-19 pada 22 April.

“Punca jangkitan yang menyebabkan kluster ini adalah daripada komuniti yang telah merebak ke kolej tersebut melalui kontak rapat dalam kalangan kakitangan dan pelajar kolej tersebut,” menurut kenyataan JPBN pada Jumaat.

Sejumlah 294 individu melibatkan kluster ini telah disaring dengan 48 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 241 kes adalah negatif dan lima kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu, kluster Jalan Selirik melibatkan sebuah sekolah di Kapit dan dikesan melalui indeks kes berkenaan iaitu seorang pelajar asrama sekolah itu berumur 15 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 12 April.

Menurut kenyataan itu, perebakan jangkitan berlaku melalui aktiviti gotong-royong yang telah dijalankan pada 4 April di asrama sekolah serta pergaulan rapat antara pelajar dan juga kakitangan sekolah.

“Punca jangkitan yang menyebabkan kluster ini adalah daripada komuniti dan telah menjangkiti kakitangan dan pelajar di sekolah tersebut melalui kontak rapat. Saringan pengesanan kes secara aktif ke atas kakitangan dan pelajar-pelajar sekolah tersebut, didapati tambahan 22 kes telah dikesan positif Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah 108 individu melibatkan kluster ini telah disaring dan daripada jumlah itu, 23 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 85 individu lagi masih menunggu keputusan makmal.

Jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak adalah sebanyak 56 kluster dengan 17 kluster telah merekodkan 189 penambahan kes baharu manakala 39 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Pada Jumaat, terdapat 717 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak selain dua kes kematian baharu direkodkan. - Bernama