580 notis amaran kepada peniaga pasar Ramadan

Ghazale (kiri) dan Rahmad (dua dari kiri) ketika 'walkabout' di pasar Ramadan Bandar Jasin Bestari, Bemban pada Jumaat.
Ghazale (kiri) dan Rahmad (dua dari kiri) ketika 'walkabout' di pasar Ramadan Bandar Jasin Bestari, Bemban pada Jumaat.
A
A
A

JASIN - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengeluarkan sebanyak 580 notis amaran kepada peniaga pasar Ramadan yang tidak mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, notis amaran itu dikeluarkan bermula Selasa hingga Khamis lalu dalam Ops Ramadan.

Menurutnya, dalam tempoh itu seramai 2,350 pengendali makanan serta 995 premis termasuk 11 buah kilang ais dan 17 hotel yang menawarkan bufet Ramadan telah diperiksa.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 10 kompaun bernilai RM10,400 telah dikeluarkan.

"Tiga kompaun kepada kilang ais dan tujuh kompaun ke atas pihak hotel di atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas 'walkabout' di pasar Ramadan Bandar Jasin Bestari, Bemban, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sebuah dapur hotel turut diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1985 kerana berada di bawah tahap kebersihan yang kurang memuaskan.

Artikel Berkaitan:

"Kita menyeru semua pengendali makanan agar sentiasa mengamal dan mengutamakan kebersihan serta keselamatan makanan semasa penyediaan dan ketika menjual kepada orang ramai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan larangan membawa kanak- kanak berusia bawah 12 tahun ke pasar atau bazar Ramadan.

"Penguatkuasaan larangan itu tiada diputuskan dalam mesyuarat kerajaan negeri selain ia juga tidak ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.