Malaysia berjaya tarik RM81.9 bilion FDI tahun ini: Azmin

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM81.9 bilion daripada 240 syarikat tahun ini.

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kesemua pelaburan itu berkualiti tinggi termasuk pelaburan dalam sektor teknologi, inovasi, teknologi hijau, kenderaan elektrik dan teknologi kewangan.

Beliau berkata, dasar pelaburan berkualiti tinggi itu turut diamalkan ketika misi perdagangan dan pelaburan di Korea dan Jepun pada awal April sehingga berjaya menarik pelaburan hampir RM7 bilion.

“Ketika saya berada di Seoul, Korea dan mengadakan perbincangan lanjut dengan pimpinan tertinggi SK Nexilis, mereka telah bersetuju untuk melipatgandakan pelaburan mereka di Sabah daripada RM2.3 bilion kepada RM 4.24 bilion,” katanya dalam Buletin Utama TV3 pada Jumaat.

Azmin berkata, syarikat gergasi Jepun turut menunjukkan komitmen pelaburan yang sama termasuk pembekal komponen elektronik,Taiyo Yu-den yang berhasrat melabur RM3.75 bilion bagi mengembangkan operasinya di Sarawak.

Oleh itu, katanya potensi pelaburan di Sabah dan Sarawak turut membuktikan kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada Lembah Klang atau Semenanjung Malaysia.

Katanya, Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan utama bagi pelabur asing walaupun ada tanggapan bahawa syarikat-syarikat multinasional meninggalkan negara.

“Dengan fakta yang telah saya berikan ini, hanya sebahagian kecil daripada apa yang telah dipersetujui, membuktikan Malaysia masih lagi menjadi destinasi pelaburan utama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azmin berkata, sebanyak RM44 bilion kini berada di pelbagai peringkat penilaian pelaburan asing untuk masa akan datang.

Beliau dijadualkan berlepas ke Arab Saudi pada minggu depan bagi misi perdagangan dan pelaburan yang seterusnya.

Malaysia mencatatkan RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2020. - Bernama