Seorang maut, dua ditahan dalam insiden berbalas tembakan

Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan militan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di daerah Yi-ngo, Narathiwat pada Khamis. - Foto Facebook คนรักทหารพราน
Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan militan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di daerah Yi-ngo, Narathiwat pada Khamis. - Foto Facebook คนรักทหารพราน
A
A
A

NARATHIWAT - Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan militan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di daerah Yi-ngo, Narathiwat pada Khamis.

Dalam pertempuran itu, dua lagi lelaki tempatan yang juga dipercayai anggota kumpulan militan turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Yi-ngo, Kolonel Warong Kerdsawat berkata, insiden bermula selepas sekumpulan lelaki yang menaiki motosikal melontarkan bom paip ke arah pos kawalan keselamatan di Mukim Luborbaya pada kira-kira 7.45 malam (waktu tempatan).

Beliau berkata, kumpulan itu telah bertembung dengan pasukan keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan berdekatan ketika cuba melarikan diri.

“Kejadian berbalas tembakan antara kumpulan militan dan pasukan keselamatan berlaku.

“Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemukan satu mayat dan menahan dua lagi anggota (kumpulan) militan itu,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan berusia 25 dan 36 tahun.

Sementara itu, jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), Watcharagorn Onngern berkata Komander Tentera Bahagian Ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak mengarahkan pasukan keselamatan mempergiatkan usaha menjejaki seorang lagi suspek yang berjaya meloloskan diri.

Artikel Berkaitan:

“Kriangkrai mengarahkan agar pasukan keselamatan di sempadan memperketat kawalan di wilayah sempadan,” katanya. - Bernama