X

Kindly register in order to view this article
!

Minta bantuan pihak berkuasa luar tangani isu akaun Twitter SKMM

Saifuddin ketika sidang media selepas sesi libat urus bersama Google, Microsoft, Facebook dan Amazon secara maya di pejabatnya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mungkin memerlukan bantuan pihak berkuasa luar bagi melengkapkan siasatan kes ciapan tidak senonoh di akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di Akaun Rasmi Twitter SKMM telah membuat siasatan yang mendalam, namun terdapat kekangan apabila ada individu yang dikatakan terlibat tidak lagi bertugas di SKMM.

"Saya telah melihat laporan itu. Jawatankuasa itu telah membuat siasatan yang komprehensif dan mendalam. Namun, jawatankuasa itu ada kekangan kerana ada individu yang dikatakan terlibat tidak lagi bertugas di SKMM dan jawatankuasa tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat.

"Jadi saya telah arahkan KSU (Ketua Setiausaha) KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek untuk melihat kemungkinan meminta bantuan daripada pihak berkuasa di luar KKMM untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ditanya mengenai status penyiasatan akaun Twitter SKMM.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas sesi libat urus secara maya bersama syarikat teknologi terkemuka iaitu Google, Microsoft, Facebook dan Amazon di sini pada Jumaat.

Pada Januari lepas, kecoh di media sosial mengenai beberapa hantaran jelik di akaun Twitter rasmi SKMM sehingga menyebabkan suruhanjaya itu terpaksa menggantung akaun itu buat sementara waktu.

Susulan itu juga, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya telah selesai menjalankan menyiasat berhubung kes berkenaan dan laporannya juga telah dihantar kepada KKMM. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!