Affendi bangga TPA M-15 berjaya tamat misi di Filipina

Pemakaian Lencana Combat Kagitingan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang kepada Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao-15 di atas kejayaan menamatkan misi dengan cemerlang di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada Jumaat.
Pemakaian Lencana Combat Kagitingan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang kepada Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao-15 di atas kejayaan menamatkan misi dengan cemerlang di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao-15 (TPA M-15) di atas kejayaan menamatkan misi dengan cemerlang sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Beliau menzahirkan penghargaan berkenaan semasa berucap pada majlis pembubaran tim tersebut yang telah diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada Jumaat.

“Sepanjang 13 bulan berada di Mindanao, TPA-15 telah melaksanakan segala mandat yang diamanahkan dengan selamat dan jayanya.

"Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran serta ancaman akibat pergolakan yang berlaku di sana, mereka terus komited melaksanakan tugas demi memastikan ketenteraman awam terpelihara melalui pemantauan gencatan senjata yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak agar ia dihormati dan dipatuhi pada sebilang masa," katanya.

Tim yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Muhammad Anwar Abdullah bersama sembilan pegawai dan seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia, dua pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik.

Mereka telah selamat kembali ke Malaysia pada 10 April lalu setelah menyerahkan tugas kepada TPA M-16 yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat TPA M di Cotabato City, Mindanao pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, dua orang Pegawai Tadbir Diplomatik yang turut bersama dalam TPA M-15 kekal meneruskan misi bersama pasukan TPA M-16.

Pada sesi majlis pembubaran tim berkenaan, Affendi turut memakaikan Lencana Combat Kagitingan yang dianugerahkan oleh Angkatan Tentera Filipina atas komitmen dan keberanian tim tersebut sepanjang melaksanakan misi keamanan yang diamanahkan.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang penugasan, TPA M-15 telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Mindanao.

Kejayaan yang dicapai itu telah meningkatkan imej negara Malaysia sebagai sebuah negara pendamai yang berkaliber dan boleh dipercayai.

Sebanyak 959 aktiviti merangkumi 188 monitoring patrol, 157 pertemuan bersama pemegang taruh, tiga Joint Field Verfication and Visitation, 73 peace advocacies, 100 aktiviti Jiwa Murni termasuk Medical Outreach dan 198 mesyuarat serta taklimat yang melibatkan proses-proses perjanjian damai termasuk melaksanakan GPH-MILF-IMT tripartite meeting yang tertangguh hampir dua tahun telah berjaya dilaksanakan oleh tim tersebut.

Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ditubuhkan bagi melaksanakan tugas-tugas berpandukan kepada Term of Reference (TOR) bagi memantau perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pihak kerajaan Filipina dan Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Misi keamanan itu telah berjaya menentukan proses damai tersebut berjalan dengan lancar.

Sejak penglibatan TPA M pada 10 Oktober 2004, beberapa pencapaian positif telah terhasil bagi merealisasikan proses damai di antara kedua-dua belah pihak.