Isyarat kewangan negara semakin parah: Mujahid

MUJAHID
MUJAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan apakah kedudukan status kewangan negara yang sebenarnya sehingga dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) terpaksa digunakan oleh kerajaan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, keadaan itu seolah mengisyaratkan kedudukan yang parah di mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti berterus terang kepada rakyat.

“Merujuk kepada Ordinan Darurat yang baharu iaitu pindaan KWAN yang berkuat kuasa pada 21 April, rakyat menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan bahawa kerajaan meluluskan undang-undang menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Mujahid yang merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, nilai dana KWAN yang difahamkan berjumlah RM16.9 bilion akan diakses tanpa semak imbang legislatif atas alasan untuk menampung pemerolehan vaksin.

Beliau turut mempersoalkan ke mana jumlah wang RM3 bilion yang telah diperuntukkan bagi pembelian vaksin.

“Bukankah pembelian vaksin telah dibuat? Dan bukankah program imunisasi baru sahaja bermula? Kenapa KWAN pula menjadi sasaran Perdana Menteri?

“Apakah perbelanjaan RM3 bilion untuk vaksin telah dibelanjakan dengan penuh keamanahan dan bertanggungjawab?

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanakah keberkesanan program ke arah kelompok imuniti yang mensasarkan 75 hingga 80 peratus penduduk divaksinkan?” soalnya.

Mujahid menegaskan, tanpa semak dan imbang di Parlimen yang telah digantung sejak Februari hingga kini, rakyat khuatir salah guna kuasa atas nama mengatasi ancaman Covid-19 akan berleluasa semasa tempoh darurat.

“Malangnya darurat menidakkan demokrasi dan perlembagaan berfungsi sepenuhnya.

“Alasan Covid-19 sukar diterima sebagai alasan kami ahli legislatif tidak dibenarkan untuk bersidang sedangkan Perdana Menteri melalui proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong berterusan menyalahgunakan kuasa nasihat yang ada padanya,” katanya.