164 pengawal keselamatan ditahan dalam operasi khas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 164 pengawal keselamatan ditahan dalam operasi khas yang dilaksanakan di sekitar ibu kota sejak 18 Jun 2020 sehingga 8 April 2021.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, sepanjang operasi itu dilaksanakan sebanyak 1,009 buah premis dan seramai 2,978 orang pengawal keselamatan telah diperiksa.

"Daripada jumlah itu seramai 164 ditangkap," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azman berkata, objektif utama operasi itu adalah bagi memastikan semua pengawal keselamatan mempunyai dokumen yang sah.

"Kita juga mahu memastikan pengawal keselamatan itu tidak melanggar syarat sah permit warga asing di bawah Akta Agensi Persendirian 1971, Akta Imigresen 1959/1963 dan lain-lain kesalahan," katanya.

Azman menasihatkan pihak agensi pengawal keselamatan supaya mengambil pekerja secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan dari masa ke masa bagi memastikan pematuhan undang- undang ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azman memaklumkan, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan bagi penugasan pencegahan jenayah serta pengawasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam tempoh musim perayaan.

Artikel Berkaitan: