Tidak tepat kata Najib ada kawalan langsung ke atas 1MDB: Peguam

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu bahawa adalah tidak tepat untuk pendakwaan mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kawalan langsung ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membolehkan beliau menggunakan kuasanya yang didakwa menyebabkan wang dana negara itu mengalir ke dalam akaun bank peribadinya.

Peguam Tania Scivetti, yang mewakili Najib berkata, berdasarkan afidavit pegawai penyiasat SAC R. Rajagopal dan Superintenden Foo Wei Min berhubung jejak wang membabitkan pengaliran keluar dana itu daripada 1MDB dan masuk ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan tersebut, tidak ada keterangan berdokumen yang menunjukkan bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaun terbabit atas arahan Najib.

“Rajagopal telah tersalah tafsir Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) yang menyaksikan beliau menegaskan bahawa semua keputusan perniagaan oleh lembaga pengarah 1MBD yang mempunyai implikasi kewangan perlu dirujuk dan diluluskan Datuk Seri Najib.

“Beliau juga tidak mengemukakan sebarang kelulusan bertulis yang menyaksikan Datuk Seri Najib telah menggunakan kuasanya menurut Artikel 117 M&A atau menyatakan bahawa bekas perdana menteri itu telah menggunakan kuasanya di bawah Artikel 117(c) memorandum sama (untuk mengalihkan wang itu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah pada prosiding pelucuthakan membabitkan kerajaan terhadap Najib dan 17 lagi di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Scivetti juga berhujah afidavit kedua-dua pegawai penyiasat hanya menunjukkan pergerakan wang yang dideposit ke dalam akaun Najib serta dipindah keluar dan perkara itu tidak memadai untuk membuktikan bahawa aset yang dirampas adalah berasal daripada aktiviti haram.

Beliau berkata, Wei Min pula dalam afidavitnya menegaskan telah menggunakan kaedah ‘masuk dahulu, keluar dahulu’ (FIFO) bagi akaun Ambank Najib yang berakhir dengan nombor 9694 dan mendapati bahawa selain menggunakan wang terbabit untuk kegunaan peribadi, bekas perdana menteri itu telah memindahkan dana tersebut ke akaun Ambanknya yang berakhir dengan nombor 1880, 32 parti politik, 131 syarikat dan 60 individu.

“Sekali lagi tidak ada bukti berhubung pengaliran wang daripada 1MDB ke dalam mana-mana akaun milik Good Star Ltd, Aabar Investments PJS dan Tanore Finance Corp yang mewajarkan Superintenden Wei Min untuk melakukan analisis FIFO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Merujuk afidavit Wei Min, Scivetti berkata, tiada kaitan antara dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Ambank Najib dengan jam tangan mewah dan barangan kemas yang dirampas.

“Wei Min berkata berdasarkan siasatan, syarikat asing terbabit telah memindahkan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB ke dalam akaun beberapa syarikat asing dan kesemua wang itu kemudian digunakan untuk membeli beg tangan serta jam tangan mewah.

“Bagaimanapun, tidak ada bukti yang dikemukakan Wei Min untuk menunjukkan perkaitan antara jam tangan terbabit dengan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

“Begitu juga tidak ada resit untuk mengaitkan jam tangan serta barangan kemas yang dirampas dengan penyata bank yang dikemukakan Wei Min. Oleh itu, tidak ada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bahawa aset yang dirampas adalah berasal daripada hasil aktiviti haram,” katanya.

Sebelum mengakhiri hujahnya, Scivetti berkata, memandangkan bukti yang dikemukakan adalah tidak memadai maka permohonan pelucuthakan itu harus ditolak.

Pendengaran di hadapan Mohamed Zaini akan bersambung pada 7 Mei ini.

Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis pelucuthakan berhubung beratus-ratus item termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan yang dirampas daripada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta tiga anak pasangan itu, 13 individu dan syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd serta Hong Leong Bank Bhd turut dibekukan antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Permohonan itu menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng, Lim, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Permohonan itu antara lain difailkan atas alasan bahawa pendakwaan, yang bertindak mengikut Seksyen 56(1) dibaca bersama dengan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, berpuas hati bahawa kesemua item yang dirampas antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 adalah mempunyai perkaitan dengan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan atau sebagai hasil aktiviti haram yang membabitkan responden. - Bernama