X

Kindly register in order to view this article
!

Jawatankuasa khas Selangor tunggu garis panduan KPM: Amirudin

Amirudin bergambar bersama penerima bantuan pada Majlis Serahan Kunci Bantuan Bina Rumah LZS di Kampung Baru Pasir Penambang Kuala Selangor pada Jumaat. -Foto: Bernama (2021) Hak Cipta Terpelihara
A
A

KUALA SELANGOR - Jawatankuasa khas bagi pengawalan perebakan kes di sekolah di Selangor sedang menunggu garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung penanda aras yang membenarkan sesebuah sekolah ditutup sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 dalam fasiliti pendidikan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini pihaknya telah bermesyuarat dengan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Md Jidin berhubung keadaan semasa jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar di negeri ini, dan jelasnya KPM akan mengumumkan satu garis panduan berhubung penutupan sekolah dalam masa terdekat.

“Saya semalam bermesyuarat dengan Radzi dan kita dapati kes di Selangor tidak banyak tetapi merata di sesebuah sekolah. Jadi sejauh mana dapat kawal, kita tunggu kementerian sebab mereka kata nak keluarkan satu garis panduan bila sebenarnya sekolah harus ditutup.

“Adakah satu kes sudah kena tutup, atau tunggu 400 kes baru tutup. Itu yang kita sedang tunggu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Kunci Bantuan Bina Rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini, pada Jumaat.

Isnin lalu, Amirudin menerusi muat naik video di Facebook rasminya @Amirudin Shari mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa diketuai Jabatan Pendidikan dan dianggotai Jabatan Kesihatan serta Unit Bencana negeri, yang bertujuan mengenal pasti lokaliti yang mempunyai jangkitan Covid-19 yang tinggi dalam komuniti.

Setelah dikenal pasti, penduduk lokaliti itu akan melakukan saringan bersasar di bawah kendalian kerajaan negeri dalam usaha bagi mengelakkan virus yang berada dalam komuniti dibawa ke sekolah.

Sebelum itu, seramai 13 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Kuala Selangor menerima rumah baharu dari LZS dengan nilai lebih RM1.2 juta yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Saipolyazan berkata, sejak 2010 sebanyak 2,283 buah rumah telah diserahkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan nilai keseluruhan agihan zakat sebanyak RM99.9 juta.

“LZS turut menyalurkan Bantuan Baik Pulih Rumah sedia ada melibatkan 3,602 buah rumah sejak tahun 2010 dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM57.35 juta.,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!