PKP: Keanggotaan polis Kelantan cukup

Shafien (tengah) bersama Azmir (kanan) turun padang meninjau penugasan di SJR Bukit Yong, Pasir Puteh pada Jumaat.
Shafien (tengah) bersama Azmir (kanan) turun padang meninjau penugasan di SJR Bukit Yong, Pasir Puteh pada Jumaat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan menegaskan kekuatan anggota pasukan itu mencukupi untuk melakukan penugasan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuat kuasa pada 16 April lalu di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, kekuatan lebih 500 anggota itu merangkumi sekatan jalan raya (SJR) dan kawalan di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko (PKRC).

"Selain itu, kita (polis Kelantan) turut mendapat kerjasama dari agensi-agensi lain yang membantu penugasan di SJR, PKPD dan PKRC.

"Ia turut melibatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negeri," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke 'laluan tikus' menghubungkan Kelantan dan Terengganu di Bukit Yong, di sini pada Jumaat.

Shafien bersama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Azmir Damiri turun padang meninjau penugasan di SJR Bukit Yong.

Menurutnya, sejak PKP berkuat kuasa di negeri ini pada 16 April lalu sehingga khamis, sebanyak 71 kompaun telah dikeluarkan ke atas individu yang melanggar SOP.

Beliau berkata, kegagalan memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan selain penjarakan fizikal.

Shafien berkata, pelanggaran penjarakan fizikal itu dikesan ketika orang ramai membuat pembelian di gerai-gerai Ramadan yang beroperasi di tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis akan terus melipatgandakan operasi bagi memastikan rakyat negeri ini patuh SOP.