TV Alhijrah ajak penonton baca al-Quran setiap hari

World #QuranHour
World #QuranHour
A
A
A

SHAH ALAM - “TV Alhijrah sebagai rakan sinergi media penyiar akan mempromosikan World #QuranHour 1442H/2021 dalam bentuk ajakan bertindak ke arah pembacaan al-Quran setiap hari," kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

Namanzee berkata demikian ketika hadir majlis taklimat Sinergi Media dan sidang media World #QuranHour di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Menurut beliau, antara rancangan sampingan TV Alhijrah ialah My #QuranTime, pengisian segmen al-Quran di setiap program semasa seperti Assalamualaikum dan Berita Alhijrah.

“Gerakan #QuranHour membuka mata yang sangat luas kepada TV Alhijrah secara peribadi dan profesional. Ia mampu merubah landskap bisnes di mana program berkaitan al-Quran mendapat sambutan baik termasuk tajaan pelbagai pihak.

“Ternyata apabila kita menegakkan agama, rezeki datang pelbagai cara walaupun Covid-19 dilihat sebagai bencana. Penularan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lepas memberi kesan kepada rakyat di seluruh negara.

“Ramai yang terkesan dari segi rohani. Mereka takut terhadap ketidaktentuan Covid-19 termasuk ancaman kematian. Ini menyebabkan masyarakat ingin kembali kepada agama dengan mendekati al-Quran.” katanya.

Namanzee berkata, TV Alhijrah bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memulakan program Malaysia #QuranTime dan kini My #QuranTime sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

Namanzee
Namanzee

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, walaupun program tersebut diadakan dalam skala kecil tetapi ia memberi impak luar biasa.

“Ini dapat dilihat dari segi prestasi tontonan televisyen dan maklum balas penonton, selebriti dan orang ramai di dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan United Kingdom.

“TV Alhijrah sedia menjayakan program My #QuranTime selama tiga tahun untuk 630 episod. Saya yakin dengan niat asal untuk memberi ilmu, perlu ada tertib dalam mempelajari ilmu.

“Hasil daripada My #QuranTime, saya berharap My #HadithTime yang kini bersiaran di TV Alhijrah memberi gelombang yang sama dalam memberi impak emosi serta kerohanian secara menyeluruh selepas fasa mencari ilmu al-Quran,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana TV Alhijrah mempunyai ramai pakar dan banyak set untuk sesi rakaman.

Menurutnya, saluran 114 mengambil jumlah surah dalam al-Quran dan penerbitannya bermula pada tahun 2010 ketika 1 Muharam.

Tarikh tersebut menjadi pilihan kerana umat Islam ketika itu diselubungi Islamofobia.

"TV Alhijrah merungkai masalah Islamofobia. Pembukaan TV Alhjrah sebagai platform ilmu dalam rumah, mempunyai matlamat yang jelas iaitu kalam ALLAH untuk disampaikan kepada masyarakat.

“Pelbagai program agama boleh ditonton melalui platform TV dan media sosial untuk mengajak orang berfikir agar akidah, ibadah dan akhlak mereka terjaga. Berfikir secara kritis penting bagi mendepani isu semasa yang semakin kompleks," katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai dan menganjurkan World #QuranHour pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei ini, sila daftar lokasi anda di http://bit.y/HOTSPOT1442H.

Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour.