20,269 penjawat awam Sabah terima bantuan khas Aidilfitri RM500

Seramai 20,269 penjawat awam di negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri pada 7 Mei depan. Gambar kecil: Hajiji Noor
Seramai 20,269 penjawat awam di negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri pada 7 Mei depan. Gambar kecil: Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 20,269 penjawat awam di negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri pada 7 Mei depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pesara awam negeri turut menerima bayaran khas sebanyak RM250.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sabah bersetuju memberi bantuan khas itu kepada semua penjawat awam negeri bagi Gred 54 dan ke bawah termasuk mereka di Pihak Berkuasa Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri.

"Kerajaan negeri menyambut baik keputusan bayaran Bantuan Khas Kewangan sempena Aidilfitri yang dibuat melalui kenyataan media Perdana Menteri pada 22 April lalu.

"Selaras dengan pengumuman itu, kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemberian itu juga sebagai menghargai pengorbanan penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama ketika menghadapi Covid-19 di Sabah.

"Pembayaran bagi bantuan ini akan dibuat bersama pembayaran gaji bulan Mei," katanya.

Artikel Berkaitan: