489,108 individu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19

Infografik twitter Dr Adham Baba
Infografik twitter Dr Adham Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 489,108 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, 771,829 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini sebanyak 1,260,937 dos.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan melalui laman Twitter rasminya pada Jumaat, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 103,219, diikuti Kuala Lumpur (86,823), Johor (71,609), Sarawak (71,426) dan Sabah (64,822).

Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 69,112, diikuti Perak (49,589), Sarawak (46,652), Sabah (44,997) dan Kuala Lumpur (43,907).

Mengenai jumlah individu yang berdaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata, sehingga Khamis, seramai 9,192,579 atau 37.90 peratus daripada yang disasarkan telah mendaftar dengan Selangor kekal mencatatkan angka tertinggi sebanyak 2,400,317 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang bermula pada bulan ini hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan bermula pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama

Artikel Berkaitan: