SM Shen Jai ditutup, seorang pelajar positif Covid-19

Notis yang dikongsi di Facebook ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing pada Jumaat.
Notis yang dikongsi di Facebook ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sekolah Menengah (SM) Shen Jai di Jalan Gopeng dalam mukim Sungai Raia, di sini ditutup selama dua minggu berikutan terdapat satu kes positif Covid-19 membabitkan pelajarnya.

Perkara itu dimaklumkan melalui satu notis bertulis yang turut dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing di laman Facebook rasminya pada Jumaat.

Dalam notis berkenaan dinyatakan penutupan sekolah bermula 26 April (Isnin) sehingga 10 Mei depan.

Sesi persekolahan hanya dibuka semula pada 17 Mei depan iaitu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada 11 hingga 15 Mei.

Makluman notis itu memberitahu, Biro Kesihatan Awam Ipoh telah mengesan seorang pelajar sekolah berkenaan dijangkiti wabak Covid-19 pada pagi Jumaat.

Sehubungan itu, arahan kuarantin dikeluarkan kepada semua kontak rapat pelajar berkenaan bagi mengekang penularan wabak di sekolah.

Pengurusan sekolah turut dinasihatkan untuk menangguhkan sesi pembelajaran bersemuka selama dua minggu dan diganti dengan kelas secara dalam talian bagi memberi laluan kerja-kerja sanitasi dilakukan.

Semua pelajar dinasihatkan untuk mengikuti kelas secara dalam talian sepanjang tempoh berkenaan yang bermula 8.30 pagi hingga 3.20 petang sebagai persediaan menghadapi peperiksaan pertengahan tahun yang dijadualkan pada 20 Mei.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan sekolah turut meminta semua warga sekolah mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk bersama mengawal penularan wabak Covid-19.