Penduduk Ladang Kirby enggan pindah ke Pangsapuri Lobak

Antara penduduk Ladang Kirby yang membantah perpindahan ke Pangsapuri Lobak.
Antara penduduk Ladang Kirby yang membantah perpindahan ke Pangsapuri Lobak.
A
A
A

SEREMBAN - 20 keluarga yang tinggal di Ladang Kirby, Labu merayu kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan supaya tidak menghantar mereka ke penempatan sementara di Pangsapuri Lobak.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Ladang Kirby, P Shonmugam berkata, pihaknya telah menerima surat daripada kerajaan negeri pada 9 April lalu, meminta kesemua penduduk berpindah ke Pangsapuri Lobak, bagi memberi laluan kepada projek perumahan di ladang tersebut.

Shonmugam menunjukkan notis yang diterima untuk berpindah ke Pangsapuri Lobak.
Shonmugam menunjukkan notis yang diterima untuk berpindah ke Pangsapuri Lobak.

Katanya, cadangan tersebut terpaksa ditolak berikutan jarak penempatan sementara itu dengan lokasi asal lebih 10 kilometer, dan boleh mengundang pelbagai masalah.

"Kebanyakan keluarga yang tinggal di Ladang Kirby ini bekerja di sekitar kawasan ini, dan jika kami berpindah ke Lobak ia akan menjejaskan rutin harian kami, kos bebanan juga akan bertambah.

"Selain itu, anak cucu kami semuanya bersekolah di Ladang Kirby, jadi akan menyukarkan kami untuk hantar mereka ke sekolah kerana jarak yang terlalu jauh," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan surat bantahan penduduk Ladang Kirby di Pejabat Menteri Besar, Wisma Negeri, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Parti Sosialis Negeri Sembilan, R Gandi.

Artikel Berkaitan:

Shonmugam berkata, mereka diarahkan untuk pindah pada bulan ini, berikutan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula 1 Mei depan.

Sementara itu, Gandi yang merupakan wakil kepada penduduk berkata, usaha kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan ladang tersebut adalah cadangan yang baik dan sangat disokong.

Namun katanya, kesepakatan antara penduduk dan pemaju juga perlu diadakan bagi memastikan kepentingan semua pihak terjamin.

"Penduduk hanya meminta supaya rumah penempatan sementara itu perlulah berada dalam jarak yang hampir dengan lokasi asal, bagi memudahkan urusan harian mereka.

"Kami berharap suara penduduk di sini didengari, sekurang-kurangnya berjumpalah dengan mereka dan ajak berunding demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua," katanya.

Dalam pada itu, Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berkata, pihaknya telah mencari jalan penyelesaian lain, namun semuanya masih belum menunjukkan keputusan positif.

Katanya, Perbadanan Menteri Besar (MBI) telah menawarkan rumah sementara di Pangsapuri Lobak, tetapi semua penduduk menolak cadangan tersebut.

"Kami telah pun mencuba beberapa pilihan tetapi semuanya belum ada keputusan yang positif.

"Antaranya adalah rumah estet di beberapa ladang berhampiran. Permohonan telah pun dihantar kepada pemilik ladang tersebut tetapi ditolak oleh pengurusan mereka atas beberapa alasan, rayuan juga telah dihantar oleh MBI untuk dipertimbangkan lagi," katanya.

Kata Arul, pihaknya berharap akan ada jalan penyelesaian terbaik bagi kepentingan kedua-dua pihak.