Peniaga disenarai hitam bank gara-gara diperguna rakan

Chong (kanan) ditemani Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timur, Steven Tiw (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat DAP Ipoh Timur dan ADUN Tebing Tinggi di Manhattan Business Centre, Ipoh pada Jumaat.
Chong (kanan) ditemani Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timur, Steven Tiw (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat DAP Ipoh Timur dan ADUN Tebing Tinggi di Manhattan Business Centre, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Padah terlalu percayakan rakan, seorang peniaga berdepan tindakan nama disenarai hitam selepas akaun simpanannya dipercayai digunakan bagi kes penipuan pembelian kereta terpakai, Mac lalu.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Chong, 32, berkata, perkara itu hanya disedari minggu lalu, selepas menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa pegawai bank memaklumkan terdapat banyak laporan polis menyatakan ada kes penipuan membabitkan akaun simpanannya.

Menurutnya, sebelum ini, rakannya yang berusia 34 tahun itu memang kerap menggunakan akaunnya bagi tujuan transaksi wang daripada pihak ketiga dan setiap kali itu juga dia akan mengeluarkan wang terbabit dan mendepositkan kembali ke nombor akaun yang lain.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana saya ingatkan mungkin itu cara dia berniaga, tambahan pula kami sudah kenal rapat sejak dari kecil lagi, memang langsung tak terfikir dia akan gunakan saya.

"Apabila dihubungi bank, barulah saya tersedar, saya cuba bertanyakan perkara ini kepada rakan saya itu, tetapi dia langsung tak jawab panggilan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat DAP Ipoh Timur dan ADUN Tebing Tinggi di Manhattan Business Centre, di sini pada Jumaat.

Chong berkata, dalam tempoh tujuh hari iaitu bermula 23 Mac lepas, dia telah membantu rakannya itu membuat transaksi wang melibatkan jumlah keseluruhan RM24,000.

Dia yang membuat semakan ke atas penyata kewangan bank kemudiannya mendapati, rata-rata wang yang dimasukkan ke akaunnya itu bagi tujuan pembelian kereta.

"Bank berkenaan telah pun menyenaraihitam akaun saya. Apa yang saya takut dan bimbangkan adalah keselamatan saya dan keluarga, hidup saya kini jadi tak tenteram lebih-lebih lagi bila diberitahu kes ini ada kaitan dengan penipuan sedangkan saya tidak tahu menahu langsung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chong yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh bagi menafikan dirinya terlibat dengan kes berkenaan.