Internet kita masih 'lembap'

Data bulanan yang dikeluarkan bagi Mac 2021 oleh Speedtest Global Index itu menunjukkan kelajuan Internet mudah alih di negara kita ialah 25.44 megabit per saat (Mbps).
Data bulanan yang dikeluarkan bagi Mac 2021 oleh Speedtest Global Index itu menunjukkan kelajuan Internet mudah alih di negara kita ialah 25.44 megabit per saat (Mbps).
A
A
A

[INFOGRAFIK] Hari ini, internet bukan lagi kehendak, sebaliknya ia merupakan satu keperluan dalam hidup.

Majoriti penduduk dunia, termasuk rakyat Malaysia bergantung kepada teknologi berkenaan untuk melakukan pelbagai perkara.

Malah, ia menjadi keutamaan kepada setiap unit masyarakat apabila Covid-19 melanda dunia pada Mac 2020 lalu.

Hampir setiap individu di dunia ini hidup dengan internet sama ada untuk melakukan kerja, bersosial atau mencari maklumat.

Namun, mempunyai internet masih belum memuaskan hati penduduk dunia kerana keupayaan dan kelajuannya berbeza-beza mengikut negara.

Berdasarkan data bulanan yang dikeluarkan oleh Speedtest Global Index, Malaysia berada di tempat keenam dalam senarai kelajuan internet mudah alih di negara ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Data bulanan yang dikeluarkan bagi Mac 2021 itu menunjukkan kelajuan internet mudah alih di negara kita ialah 25.44 megabit per saat (Mbps).

Sementara tempat pertama pula diduduki oleh Singapura dengan kelajuan 66.93Mbps, diikuti oleh Thailand (47.11), Brunei (40Mbps), Vietnam (34.82Mbps) dan Laos (28.07Mbps).

Secara keseluruhannya, Malaysia berada di tangga ke-85 daripada 140 buah negara dunia yang mana tempat pertama diduduki oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan kelajuan internet mudah alih 178.52Mbps.

Kelajuan internet mudah alih di negara kita itu bukan sahaja rendah, malah ia juga masih tidak mencapai standard kelajuan sederhana internet global iaitu muat turun pada kadar 48.40Mbps, muat naik (12.60Mbps) dan kependaman atau latency (37 saat).

Bagi internet jalur lebar pula, Malaysia berada di tangga ketiga dengan kelajuan muat turun 98.46Mbps, muat naik (54.82Mbps) dan kependaman (17).

Tempat pertama diungguli oleh Singapura dengan kelajuan 234.4Mbps dan diikuti oleh Thailand (230.59Mbps).

Sementara itu, data bagi kelajuan internet jalur lebar di Brunei pada Mac 2021 tidak disediakan.

Bagi kedudukan dunia pula, negara kita berada di tangga ke-45 daripada 177 buah negara yang mana tempat pertama diungguli oleh Singapura dan diikuti oleh Thailand di tempat kedua.

Kadar sederhana kelajuan internet global bagi jalur lebar ialah 98.67Mbps bagi muat turun, 53.22Mbps (muat naik) dan 20 saat (kependaman).