Institut pendidikan, sekolah catat peningkatan kluster Covid-19

Infografik twitter KKM.
Infografik twitter KKM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM) telah dikesan dari 1 Januari hingga 20 April lepas.

Berdasarkan infografik disiar di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), kluster melibatkan institusi pendidikan merekodkan peningkatan sekali ganda daripada enam kepada 12 kluster dalam tempoh tujuh hari pada minggu lepas.

Berikutan itu sejumlah sekolah di beberapa buah negeri diarah tutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.

Pada 18 April, semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan di Kelantan di arah tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu hingga 24 April.

Seterusnya pada 20 April, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist di Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang diarah tutup berikutan kes Covid-19 di sekolah itu dan dijangka dibuka semula pada 26 April.

Pada hari sama, sebanyak 19 sekolah di Selangor turut ditutup melibatkan 11 sekolah menengah, enam sekolah rendah, satu sekolah menengah agama dan satu sekolah jenis kebangsaan berikutan kemunculan kluster pandemik Covid-19.

Turut diarah berbuat demikian pada tarikh berkenaan, dua buah sekolah di Johor Bahru, Johor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan Taman Daya.

Pada 21 April, bilangan sekolah yang terpaksa ditutup di Johor meningkat sebanyak 27 sekolah setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid serta pelajarnya membabitkan 10 sekolah agama dan 17 lagi adalah sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, enam buah sekolah lagi di Johor ditutup bagi memberi laluan pengesanan aktif dan operasi sanitasi susulan kes Covid-19 sejak semalam, menjadikan jumlah sekolah terlibat di negeri itu meningkat kepada 33 buah berbanding 27 sekolah dua hari lepas.

Untuk rekod, sekolah menengah mula dibuka semula pada 4 April melibatkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B memulakan persekolahan pada 5 April.

Murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua pula dibenarkan ke sekolah rendah bermula 1 Mac, manakala murid Tahun Tiga hingga Enam hadir ke sekolah mulai 8 Mac lepas. - Bernama