PLUS tawar hidangan 600 usahawan tempatan di R&R

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan terus menjalankan operasi Hentian Rehat dan Rawat (R&R) seperti biasa dengan menawarkan keperluan makanan serta minuman daripada lebih 600 usahawan tempatan.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, penerusan operasi kawasan R&R itu demi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan terutama bagi mereka yang perlu melakukan perjalanan dengan menggunakan Lebuhraya PLUS.

Menurutnya, PLUS juga menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya kendalian syarikatnya dalam tempoh akan datang susulan kebenaran pergerakan rentas negeri bagi beberapa tujuan tertentu.

“Kawasan R&R PLUS terus beroperasi seperti biasa 24 jam sehari (tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan) dan seramai 600 usahawan tempatan di R&R kami bersedia memberikan perkhidmatan terbaik di sepanjang perjalanan anda.

“Kami juga ingin menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mendapatkan rehat setiap dua jam perjalanan untuk menyegarkan diri, menikmati juadah atau menggunakan kemudahan di R&R kami.

“Terdapat pelbagai pilihan makanan dan minuman yang enak serta menyegarkan disediakan di 29 R&R, 50 hentian sebelah dan restoran jejantas (OBR),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Syed Mohammed Idid menambah, pengguna lebuh raya juga mempunyai pilihan untuk menikmati makanan di ruang medan selera di R&R atau membawa pulang makanan dengan menggunakan fungsi Pra-Pesanan yang terdapat di 21 R&R terpilih.

“Anda boleh membuat pesanan lebih awal dengan lebih mudah dan selesa melalui Aplikasi PLUS. Anda boleh memuat turun Aplikasi PLUS secara percuma untuk mendapatkan maklumat lanjut dan tawaran Pra-Pesanan makanan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penjual nasi ayam dan mi wanton di R&R Sebelah Nilai Arah Selatan, Yen Chen berkata, dia berasa teruja untuk menyediakan hidangan istimewanya kepada mereka yang mahu berbuka puasa bersempena dengan Ramadan kali ini.

Sementara itu, Norhasidah Sahal yang menjual pilihan produk makanan dan cenderamata tempatan berkata, dia mengalu-alukan kedatangan pelanggan yang singgah ke kedai serbanekanya di R&R Pagoh Arah Utara.