X

Kindly register in order to view this article
!

IHP meningkat 1.7 peratus pada Mac 2021

Sebanyak 338 item dalam IHP menunjukkan peningkatan pada Mac 2021. - Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Mac 2021 meningkat 1.7 peratus kepada 122.9 berbanding 120.9 pada tempoh sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ini merupakan peningkatan positif bagi tempoh dua bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

“Peningkatan dalam keseluruhan IHP ini didorong oleh kenaikan indeks pengangkutan (9.8 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.5 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.0 peratus) manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.9 peratus).

“Ia turut didorong oleh minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus); kesihatan (0.5 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.5 peratus) pula menyumbang 64.0 peratus kepada keseluruhan wajaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, daripada sejumlah 552 barangan atau item dalam IHP itu, sebanyak 338 item menunjukkan peningkatan pada Mac 2021 manakala 141 item lain sebaliknya mencatat penurunan dan 73 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barangan tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu sebanyak 209 item, 73 item menurun dan 14 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barangan separa tahan lama dan barangan tahan lama,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menunjukkan penurunan 0.8 peratus diikuti oleh pakaian serta kasut (-0.3 peratus).

Selain itu, bagi perbandingan bulanan, beliau berkata, IHP bagi Mac turut meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding Februari 2021 yang disumbangkan oleh pengangkutan (2.3 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.4 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus); restoran dan hotel (0.1 peratus) manakala kesihatan (0.1 peratus).

Menurutnya, IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Mac 2021 kepada 113.7 berbanding 113.1 pada bulan sama 2020. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!