IP beri isyarat ekonomi semakin kukuh

IP Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif pada Februari 2021 dari tahun sebelumnya. - Foto 123RF
IP Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif pada Februari 2021 dari tahun sebelumnya. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pelopor (IP) memberi isyarat bahawa Malaysia menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, IP Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif pada Februari 2021 dari tahun sebelumnya.

Katanya, kenaikan 8.5 peratus kepada 111.2 mata pada bulan rujukan daripada 102.5 mata pada Februari 2020 didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, yang mencerminkan pertumbuhan Indeks Penjagaan Kesihatan, Indeks Pengangkutan & Logistik dan Indeks Utiliti.

“Perubahan bulanan IP menunjukkan trend yang sama dengan mencatatkan 1.1 peratus pada bulan tersebut, disumbangkan terutamanya oleh prestasi yang lebih baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.6 peratus) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.6 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Februari 2021 pada Jumaat.

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangka kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Mohd Uzir berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin adalah konsisten di atas trend dan bergerak ke atas yang selaras dengan pelaksanaan inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), bersama dengan suntikan fiskal baharu untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

“Seterusnya, pelaksanaan program vaksinasi yang dipercepat sangat penting untuk meningkatkan sentimen optimis dan sekali gus memulihkan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, katanya, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan keseluruhan ekonomi semasa, meningkat 3.1 peratus bulan ke bulan berbanding negatif 0.4 peratus pada Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (1.7 peratus).

“Secara tahunan, pertumbuhan IS lebih baik kepada negatif 2.0 peratus daripada negatif 2.2 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pada Februari 2021 kebanyakan perniagaan dibenarkan untuk meneruskan operasi di bawah pematuhan ketat dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. - Bernama