Perak tunggu kelulusan buka semula Pulau Sembilan

Perak akan mendapatkan kelulusan bagi membuka semula Pulau Sembilan di Bagan Datuk. - Foto Tourism Perak Gambar kecil: Nolee Ashilin
Perak akan mendapatkan kelulusan bagi membuka semula Pulau Sembilan di Bagan Datuk. - Foto Tourism Perak Gambar kecil: Nolee Ashilin
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan negeri Perak akan mendapatkan kelulusan bagi membuka semula pulau pelancongan, Pulau Sembilan di Bagan Datuk yang ditutup kepada orang ramai sejak tahun 2017.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, laporan daripada Perbadanan Taman Negeri menyatakan bahawa usaha pemuliharaan yang dijalankan di kawasan itu menunjukkan perkembangan positif.

Menurutnya, keadaan itu telah mengembalikan semula pelbagai hidupan liar termasuk plankton yang memancarkan cahaya biru di sepanjang pantai.

"Kita dimaklumkan bahawa kewujudan 'blue tear' atau 'blue sand' yang secara semula jadi di kawasan itu telah pulih dan bertambah baik. Begitu juga dengan hidupan flora dan fauna yang kita ketahui sebelum ini terganggu disebabkan pembangunan.

"Dengan perkembangan itu, kita akan mencari kelulusan daripada pihak-pihak berkenaan supaya kawasan itu dapat dibuka semula sebagai salah satu destinasi pelancongan negeri," katanya ketika ditemui pemberita pada program Prapelancaran Komuniti Geopark di Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) di sini pada Jumaat.

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri akan memaklumkan perkembangan terkini perkara itu dengan merujuk kepada keadaan semasa pulau berkenaan.

Setakat ini, katanya, belum ada jangkaan masa yang tepat untuk memperoleh kelulusan berkenaan memandangkan sempadan negeri masih belum dibuka dan Perak masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sehinggalah sempadan negeri dibuka nanti, dari situ kita akan buat pengumuman lanjut mengenai perkara itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri Perak sebelum ini mengumumkan Pulau Sembilan ditutup kepada sebarang aktiviti pelancongan berkuat kuasa pada 1 April 2017 sehingga ke tarikh yang akan diberitahu seperti dititahkan Sultan Perak.

Langkah berkenaan bagi membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak menceroboh dan merosakkan flora dan fauna yang terdapat di pulau berkenaan.

Pada tahun 2019, beberapa pasukan penyelidik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melakukan kajian dengan mengambil kira empat aspek, antaranya ‘boatie’, kuda laut, batu karang pelbagai lagi yang terdapat di atas pulau berkenaan.