KPDNHEP keluar 18 saman terhadap peniaga

Fat Full (kiri) dan Mohd Hairul Anuar (dua dari kiri) dalam lawatan dan pemeriksaan SHMMP Hari Raya Puasa di bazar Ramadan di Angsana Mall Johor Bahru, Johor Bahru pada Khamis.
Fat Full (kiri) dan Mohd Hairul Anuar (dua dari kiri) dalam lawatan dan pemeriksaan SHMMP Hari Raya Puasa di bazar Ramadan di Angsana Mall Johor Bahru, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memeriksa 2,568 premis di seluruh daerah dalam Ops Pantau 2021 dari 13 hingga 21 April lalu.

Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full berkata, operasi itu memfokuskan lokasi-lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.

"Sebanyak 18 kes dihasilkan sepanjang tempoh berkenaan dengan nilai kompaun RM2,000. Antara tindakan yang diambil melibatkan 13 kes kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

"Ini kerana mereka tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan," katanya dalam lawatan dan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Angsana Mall Johor Bahru di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro dan 15 penguat kuasa kementerian tersebut terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Fat Full berkata, lima kes lagi melibatkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 iaitu menggunakan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

Mengulas SHMMP yang bermula dari 21 April 2021 hingga 20 Mei, beliau berkata, kawalan harga akan dibuat terhadap 10 jenis barang yang sudah dipilih KPDNHEP sempena musim perayaan Aidilfitri.

Bagi membendung kenaikan harga tidak munasabah, beliau berkata, tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas diambil terhadap peniaga melakukan kesalahan melibatkan AKHAP 2011 iaitu tidak memaparkan tanda harga dan menjual melebihi harga ditetapkan," katanya.

Pengguna di Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga sepanjang tempoh SHMMP itu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada pihak kementerian melalui talian 03–8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); ii. Call centre 1800 886 800 dan Enforcement Command Centre (ECC) 03–8882 6245/6088.

Selain itu boleh dibuat melalui nombor aduan Whatsapp KPDNHEP iaitu 019–279 4317; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana–mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP seluruh negeri.