Raja Muda Perlis titah masyarakat pelihara alam sekitar

Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyampaikan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga rumah asnaf yang terpilih pada kali ini.
Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyampaikan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga rumah asnaf yang terpilih pada kali ini.
A
A
A

KANGAR - Program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar hendaklah terus dirancang dan dimantapkan lagi di Perlis sebagai inisiatif transformasi minda dan sikap masyarakat ke arah kelestarian alam sekitar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masyarakat diminta menyokong program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sempena Hari Bumi Sedunia pada tahun 2021 yang bertemakan 'Pulihkan Bumi Kita'.

"Agensi-agensi berwajib juga perlu bersama berganding bahu dan terus menyedia dan memantapkan lagi pelbagai program alam sekitar di negeri ini,"titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke-25 bagi tahun 2021’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis, Azman Shah Ismail berkata, pelbagai aktiviti diaturkan sempena sambutan Hari Bumi Sedunia di seluruh negeri ini.

Menurutnya, beberapa program khusus akan turut dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis melalui kerjasama strategik jabatannya dengan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan pejabat Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis.

"Antaranya ialah dengan menyediakan mini landskap berserta papan tanda berinformasi yang telah dipasang berhampiran Anjung Persinggahan Diraja bagi menerangkan kepentingan pengurusan buangan elektrik dan elektronik, menghindari pembakaran terbuka dan cara-cara bagi melupuskan sisa domestik dengan baik.

"Kempen mengumpulkan buangan elektrik, elektronik dan kitar semula barangan terpakai telah diadakan pada setiap hari rabu dan sabtu terakhir setiap bulan sejak pelancarannya di Masjid Abu Bakar As-Siddiq pada 9 April 2021,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kutipan sisa buangan elektrik yang terkumpul di kawasan tersebut sehingga kini sudah pun mencecah sebanyak 451.2 kilogram.

Dalam perkembangan sama, Azman Shah berkata, pihaknya juga turut mengadakan aktiviti penghasilan bebola lumpur bagi meningkatkan lagi kualiti air sungai di Kuala Perlis.

Menurutnya, aktiviti ini turut mendapat kerjasama pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.