Penjual kuih dituduh bunuh anggota polis

Mohd Arafat dibawa ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 untuk hadapi pertuduhan membunuh seorang anggota polis pada Jumaat.
Mohd Arafat dibawa ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 untuk hadapi pertuduhan membunuh seorang anggota polis pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penjual kuih dituduh membunuh seorang anggota polis berpangkat konstabel di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini pada Jumaat.

Mohd Arafat Taufik yang berusia 35 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Utama, antara jam 1 hingga 2 pagi pada 17 April lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan membunuh menyebabkan kematian Muhammad Iqbal Mazlan iaitu dengan menunggang secara berbahaya dengan menghimpit motosikal mangsa sehingga jatuh lalu menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, tertuduh yang berasal dari Pulau Pinang dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam, G Shanmugam.

Majistret Jamaliah Abd Manap menangguhkan kes pada 23 Jun depan untuk dokumentasi.

Dalam kejadian 1.35 pagi Sabtu, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, maut dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah di Jalan Utama.

Allahyarham yang merupakan anggota Balai Polis Datuk Keramat sedang melakukan rondaan cegah jenayah bersama dua rakan setugas sebelum terserempak dengan seorang lelaki sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditahan, suspek terus memecut laju motosikal ke arah Jalan Scotland lalu dikejar oleh ketiga-tiga anggota polis terbabit.

Ketika tiba persimpangan lampu isyarat, motosikal Allahyarham bergesel dengan suspek yang disyaki tokan dadah lalu terjatuh dan kepalanya terhantuk pada pembahagi jalan.

Muhammad Iqbal maut di tempat kejadian manakala suspek yang mempunyai 11 rekod jenayah berjaya ditahan.

Sementara itu, ujian saringan air kencing suspek positif dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki sebabkan kematian anggota polis direman seminggu

Telekung merah pemberian terakhir arwah Iqbal kepada ibu