Klinsmann tidak tolak kemungkinan latih Spurs

Jurgen Klinsmann
Jurgen Klinsmann
A
A
A

BEKAS pengendali Bayern Munich, Jurgen Klinsmann tidak menolak kemungkinan akan melatih Tottenham Hotspur selepas namanya menjadi sebutan untuk mengisi jawatan pengurus kelab itu.

Menurutnya, tiada apa yang mustahil untuk berlaku namun tidak mendedahkan sama ada perbincangan sedang berlaku antara dia dan Spurs ketika ini.

"Saya mahu katakan tiada yang mustahil dalam hidup ini. Saya tidak pernah menyangka dapat melatih Jerman dalam aksi Piala Dunia pada tahun 2006. Saya juga tidak menyangka dapat melatih Amerika Syarikat (AS) selama enam tahun dan pernah mengendalikan Bayern Munich.

"Jadi, kita tunggu dan lihat dalam beberapa bulan akan datang siapa yang akan menjadi pengurus Spurs," katanya.

Spurs sedang mencari calon sesuai untuk mengendalikan kelab tersebut selepas memecat Jose Mourinho selepas pengendali kelahiran Portugal itu gagal memenangi sebarang kejuaraan selama 17 bulan bersama The Lilywhites.

Beberapa calon dikaitkan dengan posisi tersebut termasuk Julian Nagelsmann dan Maurizio Sarri, namun kelibat Klinsmann dikatakan paling sesuai untuk mengendalikan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Dalam pada itu, Klinsmann menyifatkan tindakan Spurs memecat Mourinho sebagai keputusan mengejut apatah lagi pasukan itu bakal berdepan Manchester City pada perlawanan akhir Piala Liga Inggeris pada Ahad ini.

"Bagi saya, mereka mahu memberikan isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak betul berlaku dengan memecat Mourinho. Saya rasa mungkin corak permainan Mourinho tidak sesuai dengan kemahuan yang diminta oleh pengurusan terutama peminat Spurs.

Artikel Berkaitan:

"Daripada saingan liga, anda masih boleh menerima kedudukan kerana mereka hanya dibezakan dua mata untuk layak ke saingan Liga Juara Juara musim depan.

"Tetapi, apa yang Spurs mahukan adalah kejuaraan dan dapat menjulang trofi kerana itu sasaran mereka sejak awal musim. Pada mulanya memang nampak Mourinho berjaya membawa pasukan dengan baik, tetapi selepas itu prestasi mereka makin turun," katanya.

Klinsmann yang pernah menjadi pemain Spurs pada tahun 1994/95 berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dengan pernah membimbing Jerman, Bayern, AS dan Hertha Berlin.