Helikopter mini terbang kali kedua di Marikh

Gambar fail menunjukkan Helikopter mini Ingenuity di planet Marikh pada Isnin lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Helikopter mini Ingenuity di planet Marikh pada Isnin lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Helikopter mini Ingenuity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) berjaya terbang buat kali kedua di planet Marikh pada Khamis selama 51.9 saat dengan ketinggian lima meter.

"Kita telah melakukan dua penerbangan di Marikh yang bermakna terdapat banyak perkara yang perlu kita pelajari dalam bulan ini," kata Ketua Jurutera NASA, Bob Balaram seperti dilaporkan oleh AFP.

Agensi Angkasa Lepas AS itu sebelum ini berjaya dalam misinya menerbangkan helikopter tersebut yang seberat 1.8 kilogram pada Isnin lalu.

Ia merupakan ujian penerbangan pertama dilakukan di sebuah planet di angkasa lepas.

Ketika itu, helikopter mini tersebut terbang setinggi 3.04 meter selama 39.1 saat.

Data-data dan imej yang dirakamkan dua kamera pada helikopter tersebut dihantar ke Bumi dan diterima oleh pihak NASA di AS.

Marikh terletak sejauh 278 juta kilometer dari Bumi.

Helikopter mini itu diletakkan bersama kenderaan robotik Perseverance yang mendarat di planet tersebut pada 18 Februari lalu selepas berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida dengan roket Atlas V-541.

Artikel Berkaitan:

Sasaran Ingenuity di planet itu ialah untuk membuktikan kejayaan teknologi yang diguna pakai oleh NASA itu.

Misi Perseverance ialah mencari tanda-tanda kehidupan mikrob di planet tersebut.

Helikopter itu juga dilengkapi dengan alat pemanas bagi menghadapi cuaca yang terlalu sejuk iaitu - 90 darjah Celsius pada waktu malam di planet tersebut. - Agensi