Pakai tanjak ikut adab, pantang larang bukan sekadar trend

Sebahagian daripada tanjak yang dihasilkan oleh pengarang tanjak Mohammad Hafidzul Mohamed Azam 31, ketika ditemui di Kompleks Silveritage Ipohn baru-baru ini. - Foto Bernama
Sebahagian daripada tanjak yang dihasilkan oleh pengarang tanjak Mohammad Hafidzul Mohamed Azam 31, ketika ditemui di Kompleks Silveritage Ipohn baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Fenomena pemakaian tanjak yang semakin popular ketika ini sehingga menjadi trend, tidak seharusnya melupakan adat dan warisan masyarakat Melayu yang diwarisi sejak zaman dahulu lagi.

Seorang pengarang tanjak, Mohd Ridzuan Ahmad Mazaki, 34, berkata, si pemakai dan pembuat tanjak perlu mengetahui proses pembuatan dan pemakaian tanjak yang mempunyai pelbagai makna, pantang larang dan adab tertibnya yang tersendiri.

“Sebagai contoh, pada zaman dahulu pemakaian tanjak mengikut keturunan, pangkat atau tempat asal seseorang itu.

"Zaman sekarang saya melihat ramai anak muda terutamanya yang memakai tanjak pada hari kebesaran atau acara tertentu kerana mengikut 'trend', tidak lagi mengekalkan adat dan warisan.

“Pembuat tanjak terutamanya yang menjual di platform beli-belah dalam talian, ada yang membuat tanjak mengikut bentuk tertentu tetapi tetap tidak sama dengan yang asli kerana (penghasilan) kurang dari segi falsafah, sejarah dan adabnya,” katanya.

Beliau mengusahakan sebuah kedai menjual tanjak di sini bersama seorang rakannya, Mohammad Hafidzul Mohamed Azam, 31, selain turut menjual persalinan pakaian tradisional seperti baju Melayu, bengkung, samping, capal, pending, pakaian seragam silat serta busana pengantin lelaki.

Jelasnya, ada segelintir pembuat tanjak yang menghasilkan sesebuah tanjak itu tanpa mengikuti 'Titisan Terimba' yang bermaksud keturunan serta susur galur tanjak tersebut.

"Jadi, dari situ kita nampak tanjak itu sudah hilang dari segi sejarah dan warisannya. Kalau kita hasilkan sesuka hati, tanjak itu tidak akan menjadi seperti yang diingini. Saya sendiri mengambil masa selama setahun untuk belajar cara-cara membuat tanjak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ridzuan memakai tanjak bersama pakaian tradisional Melayu ketika ditemui di Kompleks Silveritage Ipoh baru-baru ini. - Foto Bernama
Mohd Ridzuan memakai tanjak bersama pakaian tradisional Melayu ketika ditemui di Kompleks Silveritage Ipoh baru-baru ini. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, setiap tanjak yang dihasilkan memerlukan kemahiran dan perlu dilakukan dengan berhati-hati dan teliti kerana setiap tanjak yang disimpul atau dilipat tidak boleh dilakukan sembarangan.

Sebaliknya, ia perlu dihasilkan mengikut kesesuaian dan keturunan si pemakai sama ada bersifat megah, rendah diri atau berada dalam keadaan sedih, tegasnya.

“Sebagai contoh, simpulan tanjak ada beberapa jenis seperti Simpul Ketupat Palas, Burasak Makanan Bugis, Garam Sebuku, Ketupat Makassar serta Burasak Temenggor. Setiap tanjak yang disimpul melambangkan keturunan yang memakainya dan jika kita tersilap simpul, ia akan membawa makna tidak baik kepada si pemakai," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, pada masa kini, kebanyakan tanjak diperbuat daripada kain jenis songket, kain pelikat atau kapas dan setiap tanjak bersaiz kira-kira satu meter perlu menggunakan tekstil kain gam yang mempunyai tekstur yang keras supaya ia mudah dibentuk.

Menurutnya, terdapat kira-kira 300 jenis tanjak antaranya Alang Iskandar, Ayam Patah Kepak, Getam Pekasam, Helang Menyonsong Angin, Dendam Tak Sudah, Sarang Kerengga, Balung Diraja, Getam Sudu Itik serta Tok Beruas, namun ada antara jenis-jenis tanjak yang sudah lupus ditelan zaman.

Mohd Ridzuan menarik perhatian, cara penyimpanan tanjak mempunyai adab tertibnya seperti tidak boleh dicampak merata-rata dan ia perlu disimpan di dalam kotak atau almari dan diletakkan di dalam tempat khas bagi mengekalkan kualiti tanjak itu.

Menyentuh mengenai tempahan, beliau berkata, permintaan yang tinggi kini terarah kepada tanjak jenis kain kapas berwarna hitam atau kain songket hitam emas yang dijualnya bermula RM70 hingga RM199 mengikut jenis fabrik.

"Kebiasaannya dua minggu sebelum sambutan hari raya, memang dapat banyak tempahan sehingga terpaksa menolak kerana ada yang menempah pada saat-saat akhir,” katanya yang berharap trend pemakaian tanjak ini bergerak seiring dengan kesedaran mengenai adat dan warisan agar tidak hilang ditelan zaman. - Bernama