Harga minyak mungkin melonjak lagi

Gambar fail menunjukkan sebuah kemudahan minyak milik syarikat Aramco dekat al-Khurj, Arab Saudi. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kemudahan minyak milik syarikat Aramco dekat al-Khurj, Arab Saudi. - Foto AFP
A
A
A

PADA 20 April tahun lalu, harga minyak mentah diniagakan pada kadar sifar di Amerika Syarikat (AS) ketika pandemik Covid-19 menular di kebanyakan negara di dunia dan perbalahan yang berlaku dalam anggota-anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC).

Harga minyak mentah di AS pada tarikh tersebut menjunam dari AS$18 (RM74.01) setong kepada harga di bawah sifar iaitu -AS$40.32 (-RM165.76) ketika stok simpanan bahan komoditi itu terlalu banyak di negara tersebut.

Menurut akhbar The Guardian, harga minyak itu menjunam turut disebabkan oleh kemerosotan permintaan di pasaran dunia ketika ekonomi global berada dalam keadaan lembap berikutan penularan pandemik Covid-19.

Kejatuhan harga itu juga yang dianggap terburuk dalam sejarah permintaan minyak berikutan langkah-langkah sekatan perjalanan dan penerbangan yang digunakan sebagai cara untuk mengekang penularan pandemik tersebut.

Pada hari tersebut juga, harga kontrak hadapan untuk minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran pada bulan Mei tahun lalu dilaporkan hanya pada AS$0 (RM0) setong di AS.

Kejatuhan itu turut didorong oleh sikap para pedagang yang terpaksa menjual minyak mentah yang dijadukan stok kerana ketiadaan tempat untuk menyimpan bahan komoditi itu di AS.

WTI merupakan penanda aras bagi harga minyak mentah yang digunakan di AS tetapi sejumlah negara di dunia termasuk Malaysia menggunakan penanda aras minyak mentah Brent dari Britain.

Minyak mentah Brent itu tidak mengalami kejatuhan yang teruk seperti di AS pada April tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum tahun 1970, harga minyak mentah dilaporkan bergerak antara AS$1 (RM4.11) dan AS$2 (RM8.22) satu tong sebelum meningkat naik sedekit demi sedikit sehingga harga tertinggi dalam sejarah iaitu melebihi AS147 (RM604.32) setong pada tahun 2008.

Setiausaha Tenaga AS ketika itu, Samuel Bodman yang dilaporkan oleh Otago Daily Times berkata, peningkatan harga tertinggi itu disebabkan oleh pengeluaran minyak yang tidak mencukupi dan bukannya disebabkan oleh amalan spekulasi kewangan.

Pada 11 Julai 2008, harga minyak mentah Brent meningkat setinggi AS$147.50 (RM606.37) satu tong sekali gus mengatasi rekod AS$146.59 (RM602.63) satu tong pada 3 Julai 2008.

Harga minyak mentah New York pula meningkat buat pertama kali dalam sejarah kepada AS$147.27 (RM605.43) di AS.

Permintaan minyak di Amerika Syarikat semakin kukuh jika dibandingkan pada April tahun lalu yang menyaksikan harga komoditi itu menjunam. - Foto AFP
Permintaan minyak di Amerika Syarikat semakin kukuh jika dibandingkan pada April tahun lalu yang menyaksikan harga komoditi itu menjunam. - Foto AFP

Bagaimanapun, selepas lebih setahun berlalu, harga minyak mentah kembali melonjak selepas beberapa buah negara melakukan proses vaksinasi terhadap rakyat masing-masing dan terdapat permintaan yang optimistik.

Harga komoditi itu kembali berlegar pada AS$65 (RM267.21) setong dan menurut jangkaan firma Goldam Sachs, ia akan meningkat mengatasi AS$80 (RM328.88) setong dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut AFP, firma penyedia perkhidmatan kewangan, Morgan Stanley meramalkan harga minyak akan meningkat kepada AS$70 (RM287.77) setong pada suku ketiga tahun ini.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) turut melaporkan dalam ramalannya bahawa permintaan dan penawaran bekalan minyak kini semakin kukuh pada tahun ini.

Seorang penganalisis kanan yang mengkhusus dalam bidang kewangan online dan perkhidmatan kewangan di Bank Swissquote, Ipek Ozkardeskaya berkata kepada AFP bahawa banyak yang sudah berubah sejak harga minyak mentah mencatatkan kemerosotan harga pada April tahun lalu.

Beliau turut menyatakan banyak laporan yang mendakwa harga minyak kini boleh mencecah sehingga AS$100 (RM411.10).

Pada bulan April tahun ini terdapat perkembangan yang sihat untuk industri minyak global jika dibandingkan dengan sejarah hitam yang berlaku pada April tahun lalu yang menyaksikan kemerosotan harga.

Pada minggu lalu, harga minyak mentah Brent ditutup pada harga AS$66.77 (RM274.59) meningkat sebanyak 5.71 peratus manakala minyak WTI ditutup pada harga AS$63.13 (RM259.62) meningkat sebanyak 6.04 peratus.

Menurut portal OilPrice.com, harga minyak yang meningkat itu disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk nilai dolar yang lemah, data ekonomi yang kukuh dari China, ramalan pertumbuhan ekonomi daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan permintaan yang tinggi dari AS.

Data-data pergerakan manusia daripada Google turut menunjukkan peningkatan pelawat ke tempat-tempat hiburan dan peruncitan sekali gus menunjukkan permintaan terhadap minyak tidak seburuk seperti yang disangkakan sebelum ini. - Agensi