Debat Pilpres pusingan kedua: Prabowo makin lantang

Kedua-dua calon Pilpres memilih soalan secara rawak ketika debat pusingan kedua, semalam. - Foto: AFP
Kedua-dua calon Pilpres memilih soalan secara rawak ketika debat pusingan kedua, semalam. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Debat pusingan kedua antara Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan pesaingnya, Prabowo Subianto yang disiarkan secara langsung menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) berlangsung sengit di Hotel Sultan di Jakarta, semalam.

Prabowo dilihat semakin menonjol kerana dengan berani mengkritik dan membalas setiap hujah dilontarkan Jokowi berkaitan isu tenaga, makanan, infrastruktur dan sumber asli.

Ketika debat pertama, beliau dikatakan seperti cuba mengawal dan menahan dirinya daripada bersuara secara lantang. "Prabowo sudah kembali menjadi dirinya sendiri. Beliau tidak lagi ragu-ragu kritik presiden.

"Prabowo dakwa pembangunan infrastruktur dilakukan kerajaan adalah tidak efisien dan hanya menambah beban hutang serta tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," kata Pengarah Eksekutif Median, Rico Marbun.

Sementara itu, Jokowi mendakwa Prabowo kurang optimis berhubung harga makanan dan petani sebagai membalas kritikannya terhadap perkembangan industri 4.0.

Menurut Jokowi, perkembangan industri 4.0 memberi kesan positif kepada para petani malah banyak hasil pertanian telah dipasarkan secara meluas. Dalam perkembangan berkaitan, polis menyiasat letupan di kawasan parkir berhampiran lokasi debat Pilpres di ibu negara.

"Bunyi kuat dapat didengari dan asap tebal dilihat memenuhi kawasan itu. Tetapi, kumpulan media mendakwa ia mungkin disebabkan bunga api. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan," ujar jurucakap polis. - Agensi

Artikel Berkaitan: