Kemunculan Zoom Zombie

No Image Caption
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 telah melahirkan generasi yang sangat bergantung kepada beberapa aplikasi tertentu ketika bekerja di rumah (WFH) khususnya Zoom untuk bermesyuarat.

Sekalipun ada laporan dari Britain yang menyatakan ramai pekerja ber-puas hati mengguna aplikasi Zoom ketika WFH, namun ada rungutan dari Amerika Syarikat (AS), kononnya wujud fenomena Zoom Zombie ketika ini.

Secara kasar, istilah Zoom Zombie merujuk kepada golongan pekerja yang kepenatan dan tidak lagi mampu memberikan perhatian kepada mesyuarat diadakan menerusi Zoom. Mesyuarat sebenarnya berjalan hanya di atas ta-lian tanpa impak padu.

Dalam hal ini, penulis setuju dengan istilah Zoom Zombie. Tinjauan Syarikat Root Insurance di AS mendapati 54 peratus pengguna sukar memberikan perhatian kepada pemanduan kerana terpaksa bersidang video, mengguna aplikasi Zoom. Dalam kajiannya, Root Insurance, syarikat insurans kenderaan menyediakan pemandu mereka di lebih 30 negeri di Amerika. Pemandu kemudian dikehendaki memuat turun aplikasi mudah alih mengguna teknologi internet-of-things (IoT) dan artificial intelligence (AI).

Laporan Root yang diterbitkan Businesswire awal April ini telah memberi amaran kepada pemandu lain agar berwaspada terhadap pemandu ‘Zoom Zombie’. Kajian turut mendapati lebih 64 peratus pelanggannya di Amerika disaman akibat menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Senario yang sama sebenarnya terjadi di Malaysia. Penulis pasti ramai pekerja di Malaysia menggunakan aplikasi Zoom untuk bermesyuarat dan pada masa sama terpaksa memandu. Penulis juga pernah berdepan situasi terpaksa bermesyuarat menggunakan kaedah Zoom. Ternyata, pemanduan jadi bercelaru.

Penggunaan pelbagai aplikasi termasuk Zoom sebenarnya telah disebut dalam al-Quran menerusi surah al-Ra’d [13:26] maksudnya: “ALLAH memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.”

Namun kebelakangan ini penulis aplikasi Zoom one-to-one atau one-to-many berleluasa tanpa kawalan. Ada juga sekadar membuka aplikasi Zoom tetapi sebenarnya tidak mengikuti perjalanan mesyuarat. Penulis ingin mencadangkan 11 kaedah terkini untuk mengatasi fenomena Zoom Zombie.

Artikel Berkaitan:

Perjalanan mesyuarat menerusi Zoom hendaklah tidak mengganggu pemandangan. Gunakan latar lokasi yang baik. Semua yang terlibat dalam mesyuarat menerusi Zoom tidak digalakkan makan ketika bermesyuarat. Paling penting jangan guna aplikasi Zoom sambil memandu kerana ia berbahaya. Kesilapan sering melontar mesej peribadi juga pasti menjengkelkan rakan sekerja lain. Ada yang gemar membangkitkan isu peribadi ketika bermesyuarat rasmi. Penulis juga berharap pengguna aplikasi Zoom mestilah meletakkan kaedah mute (tidak berdering) ketika dalam mesyuarat Zoom.

Sentiasa terlibat dalam perbincangan. Jangan hanya sekadar ingin menjadi peserta mesyuarat Zoom. Aspek pencahayaan dan kedudukan kamera juga wajar diperhatikan.. Pastikan skrin desktop bersih dan menutup tab penyemak imbas supaya ia tidak kelihatan hadirin dalam Zoom. Tutup semua skrin tidak berkenaan dan pastikan ia tidak memaparkan dokumen penting.

Kesimpulannya, kita harus lebih berwaspada ketika menggunakan aplikasi Zoom dan mesti menolak kewujudan Zoom Zombie yang pasti mengundang masalah ketika bermesyuarat.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor