KPPK hasrat jadikan Malaysia ‘Raja Coklat Asia’

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘Raja Coklat Asia’ dengan mengetengahkan keunikan kualiti, khasiat dan rasa koko tersendiri yang ditanam di negara ini.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia merupakan pengisar koko kedua terbesar di Asia dan mampu mencapai hasrat tersebut kerana mempunyai tanah yang sesuai.
“Untuk rantau ini, kita mahu jadikan Malaysia sebagai ‘Raja Coklat Asia’ ertinya di peringkat Asia, Malaysia menjuarainya kerana kita adalah pengisar utama dan kita ada tanah yang baik untuk kita kemukakan sebagai sumber tunggal.
“Jika mahu jadi ‘Raja Coklat Asia’ harus ada keistimewaan untuk ditampilkan kepada dunia,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Lembaga Koko Malaysia dan Pertubuhan Perladangan Kawasan Bagan Datuk, Perak serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Pahang di Hotel Premiera pada Khamis.