KPPK hasrat jadikan Malaysia ‘Raja Coklat Asia’

Mohd Khairuddin diberi taklimat ringkas mengenai koko daripada Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Bio Aromatik Universiti Malaysia Pahang, Profesor Madya Dr Saiful Nizam Tajuddin. - Foto Bernama
Mohd Khairuddin diberi taklimat ringkas mengenai koko daripada Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Bio Aromatik Universiti Malaysia Pahang, Profesor Madya Dr Saiful Nizam Tajuddin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘Raja Coklat Asia’ dengan mengetengahkan keunikan kualiti, khasiat dan rasa koko tersendiri yang ditanam di negara ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia merupakan pengisar koko kedua terbesar di Asia dan mampu mencapai hasrat tersebut kerana mempunyai tanah yang sesuai.

“Untuk rantau ini, kita mahu jadikan Malaysia sebagai ‘Raja Coklat Asia’ ertinya di peringkat Asia, Malaysia menjuarainya kerana kita adalah pengisar utama dan kita ada tanah yang baik untuk kita kemukakan sebagai sumber tunggal.

“Jika mahu jadi ‘Raja Coklat Asia’ harus ada keistimewaan untuk ditampilkan kepada dunia,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Lembaga Koko Malaysia dan Pertubuhan Perladangan Kawasan Bagan Datuk, Perak serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Pahang di Hotel Premiera pada Khamis.

Beliau berkata, pengeluaran coklat di negara ini menawarkan rasa yang berbeza dengan sumber tunggal tertentu seperti koko ranau dan koko semenanjung.

“Setiap tanah memberi khasiat yang berbeza. Ini yang kita mahu fokus dan kita dah buat kajian. Kita mahu popularkan coklat kita serta ketengahkan khasiat dan rasanya,” katanya.

Sehingga kini tanaman koko negara dianggarkan seluas 5,897 hektar.

Beliau berkata, KPPK menggalakkan kerjasama pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan, agensi swasta, persatuan dan pemain industri bagi meluaskan kawasan tanaman koko negara.

Artikel Berkaitan:

Mengenai majlis pada Khamis, Mohd Khairuddin berkata, MoA antara LKM dan PPK Bagan Datuk merupakan kerjasama dalam mengusahakan tanaman koko secara integrasi dengan tanaman kelapa bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Lestari Tanaman Koko.

Menerusi kerjasama tersebut, LKM bersetuju untuk memajakkan tanah seluas 28.3 hektar (70 ekar) di kawasan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko LKM Bagan Datuk bagi diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Datuk.

Sebagai timbal balas, LKM akan memainkan peranan dalam memberi khidmat nasihat teknikal tentang penanam koko secara integrasi dengan tanaman kelapa dan memastikan konsep tanaman integrasi ini mendapat pulangan yang menguntungkan.

“Saya berharap kerjasama ini boleh dilaksanakan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan di daerah dan negeri yang lain,” katanya.

Sementara itu, MoU antara LKM dan Universiti Malaysia Pahang pula melibatkan kerjasama penyelidikan berkaitan projek membangunkan produk penjagaan kesihatan termasuk teknologi sensor 'e-nose'.

Produk yang akan dibangunkan adalah produk penjagaan kesihatan berasaskan ekstrak daripada pokok koko.

“Teknologi sensor e-nose pula akan menggunakan sistem Kecerdasan Buatan (AI) yang akan menyamai deria manusia untuk memperkasa pemeriksaan kualiti biji koko melalui pengecaman bau, rasa serta profil bahan aktif.

“Salah satu faktor yang mengurangkan kualiti biji koko kering adalah kehadiran bau asing seperti bau asap, bau yang tidak menyenangkan dan lain-lain bau akibat pencemaran semasa biji koko dikeringkan dan semasa penyimpanan.

“Teknologi sensor e-nose ini akan dapat membantu mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan penentuan bau termasuk rasa di peringkat awal pemeriksaan kualiti biji koko,” katanya. - Bernama