Pengalaman calon berusia lebih diyakini dalam PRU

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan calon muda dan muka baharu kurang diketengahkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kerana parti lebih menaruh keyakinan untuk memilih calon berusia yang berpengalaman.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Pawi berkata, pemilihan calon berusia juga dibuat selepas mengambil kira calon yang diketengahkan parti lawan.

"Ini yang berlaku di Sabah misalnya apabila mereka (pemimpin politik muda) terpaksa akur (tidak dipilih), misalnya untuk menentang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di (Parlimen) Semporna.

"Ini bukan perkara yang mudah sebab Mohd Shafie sejak awal lagi (1980-an) sudah terlibat dalam politik maka perlu calon lebih berpengalaman untuk menentang, melawan balik (beliau)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-250 bertajuk 'PRU15: Pengundi Muda Penentu Nasib Sabah' disiarkan menerusi Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Muhammad Suffian Hindi dan Naib Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Rina Jainal juga sebagai panelis, manakala Raydwin Robin bertindak sebagai moderator.

Awang Azman berkata, walaupun pemimpin muda diketengahkan sebagai calon pilihan raya, namun hakikatnya mereka masih tidak mampu untuk bersaing dengan jumlah calon yang sudah berusia.

"Kalau kita melihat statistik jumlah calon muda dan muka baharu yang dipertandingkan (diketengahkan sebagai calon) hakikatnya masih tidak dapat menyaingi 80 peratus calon berusia 40 tahun ke atas.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan satu dilema besar kepada pengundi muda (memilih) yang akhirnya pengundi muda terpaksa bersikap rasional kerana mereka tahu mereka berada dalam lingkungan parti kerana ada yang terlibat dalam kepartian.

"Mereka terpaksa akur kepada parti yang menentukan calon dan menentukan secara tidak langsung dari segi umur tersebut," katanya.

Awang Azman bagaimanapun mengakui parti-parti politik tetap menonjolkan pemimpin muda dalam mana-mana parti sebagai tarikan kepada pengundi muda, namun jumlah menjadi calon tidaklah ramai.

"Memang ada pemimpin muda ditonjolkan tetapi hanya sekitar 20 peratus sahaja, jadi dalam konteks ini pengundi muda di satu sisi terpaksa akur kepada situasi parti mereka.

"Mereka akur bahawa mereka perlukan pemimpin lebih berpengalaman untuk menerajui dan mewakili kawasan khususnya apabila bertembung dengan lawan berpengalaman dalam situasi politik," katanya.