X

Kindly register in order to view this article
!

17 pekerja di asrama Singapura dijangkiti semula Covid-19

Kementerian Kesihatan Singapura mengklasifikasikan 54,513 kes yang dilaporkan sebagai penghuni asrama, 4,025 kes import dan 2,342 kes dalam komuniti. (Gambar fail)
A
A

SINGAPURA - [DIKEMASKINI] Seramai 17 pekerja di asrama Westlite Woodlands yang telah pulih daripada Covid-19 didapati dijangkiti semula virus itu, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Khamis.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan operasi khas yang dilaksanakan oleh MOH dan Kementerian Tenaga Kerja bagi menguji penghuni asrama berkenaan.

Kes-kes itu dikaitkan dengan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang tinggal di asrama berkenaan dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada 19 April.

Dilabelkan sebagai kes 62181, lelaki itu bekerja di Sembcorp Marine Admiralty Yard dan diambil bekerja oleh Prosper Environmental & Engineering Pte Ltd sebagai penyelia pembinaan.

Menurut MOH, kes-kes berkenaan segera diasingkan dan dilaporkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Menurutnya, pihak MOH bersama panel pakar yang terdiri daripada pakar penyakit berjangkit dan mikrobiologi, sedang menyiasat sekiranya kes itu merupakan jangkitan semula.

Setakat tengah hari Rabu, kementerian telah mengklasifikasikan 54,513 kes yang dilaporkan sebagai penghuni asrama, 4,025 kes import dan 2,342 kes dalam komuniti.

Dalam persidangan media pasukan petugas Covid-19 secara maya pada Khamis, pengarah perkhidmatan perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak berkata, Singapura telah melakukan kajian sendiri berkaitan dengan tahap antibodi kes-kes yang direkodkan.

Beliau berkata, kajian itu melihat kepada kes-kes pulih di dalam komuniti dan pekerja di asrama.

"Kedua-dua kumpulan itu dilihat mengekalkan tindak balas antibodi untuk penjujukan masa melebihi tempoh 300 hari, namun kemudiannya dalam tempoh tertentu 40 respons menunjukkan penurunan dan secara teorinya ada kemungkinan bagi orang yang telah pulih untuk dijangkiti semula kemudiannya.

"Ini sebabnya kita perlu berwaspada terutama ketika ini semasa jumlah pekerja kita yang pulih mulai meningkat dengan ketara dengan tempohnya melebihi 300 hari, dan kita perlu mulai memantau dengan rapi risiko jangkitan semula berlaku,” katanya.

Mak berkata, ini juga akan menjadi asas untuk meningkatkan ujian, bukan hanya dalam kalangan pekerja, tapi juga bagi pelancong yang datang ke Singapura.

"Kita akan terus berhati-hati memantau kes-kes jangkitan semula dengan teliti,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!