Mitos Melayu malas

A
A

SAYA tertarik dengan satu kajian yang dilaksanakan oleh ATMA UKM mengenai Mitos Melayu Malas: Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas dan Realiti Hari Ini. Kajian ini berkait rapat dengan beberapa kenyataan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa Melayu perlu mengubah sistem nilai untuk berjaya. Mengubah sistem nilai bermakna mengubah pemikiran dan perwatakan Melayu.

Jika diteliti buku yang ditulis oleh Syed Hussin Al Attas yang bertajuk, The Myth of the Lazy Native: A Study of the Image of the Malays, Filipinos and Javanese from the 16th to the 20th Century and Its Function in the Ideology of Colonial Capitalism, boleh dikatakan terdapat beberapa persoalan yang dibangkitkan dalam mitos Melayu malas antaranya Revolusi Mental, Sistem Kapitalis, Perwatakan Melayu dan Pendidikan.

Melayu dikatakan malas kerana gagal menghayati revoulsi mental untuk menjadi sebuah masyarakat yang kompetitif dan progresif. Revolusi mental diertikan sebagai satu perubahan pemikiran, pandangan dan sikap yang perlu disesuaikan dengan perubahan zaman untuk bergerak maju dalam semua aspek.

Selama enam dekad negara ini merdeka, komuniti Melayu masih kurang menguasai ekonomi khususnya pasaran ekonomi digital zaman kini. Ada yang mengaitkan dengan ruang dan peluang yang boleh dibantu oleh kerajaan dalam memperkasakan ekonomi Melayu dalam pasaran ekonomi digital.

Tetapi sebaliknya, dalam penulisan buku tersebut mengatakan bahawa kelemahan utama Melayu dalam ekonomi adalah disebabkan ekonomi Melayu bergerak secara kolektif dan bukannya individu. Ini menyebabkan Melayu memerlukan satu kumpulan kerja dalam meraikan ekonomi secara progresif.

Manakala, komuniti Cina menggerakkan ekonomi mereka secara individu dan bersifat kekeluargaan. Ini berbeza dengan pandangan ekonomi Melayu yang bergerak dalam kroni atau kumpulan. Akibatnya, banyak masalah timbul terutama kronisme dan nepotisme apabila tiba soal pempolitikan ekonomi Melayu.

Dalam pandangan buku tersebut mengatakan kelemahan Melayu adalah kurang mampu bersaing dalam pasaran kapitalis jika tidak diberikan bantuan daripada kerajaan. Bantuan tersebut sebagai modal untuk menggerakkan ekonomi Melayu. Pada penghujung dekad akan datang, pasaran negara bakal menggantikan pasaran kapitalis disebabkan ekonomi revolusi industri sudah melangkah ke era 5.0. Tetapi negara masih lagi berbicara mengenai revolusi industri 4.0 yang berdasarkan kepada pasaran kapitalis.

Dalam pasaran negara, kerajaan memainkan peranan utama menjaga dan menggerakkan ekonomi negara dalam industri ekonomi digital 5.0. Kawalan kerajaan amatlah utama dan bukan lagi bergantung kepada pasaran permintaan dan penawaran.

Mahu tidak mahu ekonomi Melayu perlu melihat kepada keusahawanan perniagaan yang melibatkan modal kolektif seperti koperasi dan bukan lagi secara individu. Kaedah MLM (Multiple Level Marketing) perlu digantikan dengan perniagaan koperasi. Perniagaan koperasi adalah paling sesuai jika ingin bergerak secara kolektif tanpa bantuan kerajaan. Malahan perniagaan koperasi lebih adil dalam pembahagian usaha untuk menikmati kek keuntungan syarikat jika dibandingkan dengan MLM. Ini disebabkan koperasi tidak mewujudkan struktur hierarki kedudukan dalam perniagaan.

Perwatakan Melayu yang diutarakan adalah mengubah sifat Melayu seperti kejujuran, disiplin, berfikir secara rasional dan tidak terlalu memainkan sentimen dan retorik. Ini amat penting supaya masyarakat Melayu tidak menyalahkan sesiapa di atas apa yang berlaku sebaliknya berusaha untuk menerima hakikat dan membuat perubahan yang lebih baik.

Apa yang berlaku adalah situasi ini telah dipolitikkan untuk agenda pihak tertentu. Pempolitikan yang kelampauan telah menyebabkan ketegangan dan perpecahan sesama Melayu. Akhirnya kuasa politik Melayu menjadi lemah dan dipergunakan untuk pihak lain.

Perubahan situasi janji Melayu sebagai usaha menghargai masa itu emas dapat menyemai sifat rajin dan komited dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau amanah yang diberikan kepadanya. Melayu juga perlu mengurangkan perbelanjaan bermewah-mewah yang melangkau pendapatan supaya tidak terjebak dalam keberhutangan. Keberhutangan sebenarnya melemahkan kuasa beli Melayu.

Pendidikan pula perlu seimbang antara STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dengan pendidikan kemanusiaan. Selama enam dekad pendidikan negara ini bertunjangkan kepada pencapaian akademik dan ranking dunia tanpa melihat akan keutamaan pendidikan manusiawi. Akhirnya melahirkan manusia yang korup jiwanya seperti tidak amanah, mementingkan diri dan gejala sosial yang semakin parah. Sudah tiba masanya kita memikirkan pendidikan yang seimbang dalam melahirkan insan ke jalan yang lurus dan mempunyai jati diri.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.