Icom, kluster baharu Covid-19 diisytihar di Sarawak

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Icom di daerah Kuching. -Foto 123RF
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Icom di daerah Kuching. -Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Icom di daerah Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan pada Khamis berkata, indeks kes itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah hospital swasta di sini pada 18 April lepas.

Individu berkenaan mendapat jangkitan semasa menghadiri satu perjumpaan makan malam di sebuah restoran di pusat beli belah City One dan kemudiannya ke sebuah Bistro di Jalan Song di sini pada 13 April.

Katanya, individu itu turut menghadiri satu sesi latihan pada 14 April bersama-sama beberapa penceramah yang datang dari luar Sarawak.

“Selepas siasatan lanjut, peserta-peserta yang menghadiri perjumpaan makan malam tersebut didapati bekerja di agensi penasihat pengurusan hartanah yang bertempat di Icom Square di Jalan Pending,” menurut JPBN.

Sarawak pada Khamis merekodkan sebanyak 474 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 26,032 kes dengan satu kematian baharu melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 80 tahun, menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan virus itu setakat ini seramai 146 orang.

Sementara itu di SARIKEI, sebanyak 2,340 dos vaksin Covid-19 akan diberi kepada penerima melalui Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV), iaitu di Dewan Suarah dan PPV Hospital Sarikei, bermula 30 April hingga 3 Mei depan.

Residen Bahagian Sarikei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB), Sarikei Felicia Tan berkata, PPV Dewan Suarah Sarikei akan mengendalikan sebanyak 2,220 dos manakala PPV Hospital Sarikei, sebanyak 120 dos.

Artikel Berkaitan:

“Hanya mereka yang sudah mempunyai janji temu dalam MySejahtera dibenarkan hadir kerana setiap hari hanya kira-kira 500 dos akan dikeluarkan.

"Senarai penerima yang sudah mempunyai janji temu akan dipamerkan di papan notis Wisma Jubli dan PPV Dewan Suarah Sarikei,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurutnya penduduk Sarikei boleh menyemak status janji temu vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera masing-masing untuk pengesahan tarikh pengambilan dos pertama vaksin Covid-19.

Sementara itu JPBB Sarikei dalam satu kenyataan memaklumkan simulasi pemberian vaksin Covid-19 telah dilaksanakan di Dewan Suarah Sarikei hari ini yang dihadiri 70 peserta dari jabatan Persekutuan dan negeri sebagai sebahagian daripada persiapan untuk fasa kedua program imunisasi itu. - Bernama