Sewa tapak Uptown Aidilfitri RM1,000 bebankan peniaga

A
A
A

BALING - Kadar sewa tapak Uptown Aidilfitri sebanyak RM1,000 di Taman Kota Baling Jaya, di sini membebankan peserta yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Peniaga, Mohd Taufiq Said, 35, berkata, penganjuran selama dua minggu sebelum raya dengan kadar sewa sebanyak RM1,000 disifatkan memberi kesan kewangan terhadap peniaga yang kurang mampu.

Menurutnya, rata-rata peserta meluahkan rasa tidak puas hati berikutan kenaikan sewa tapak yang tinggi namun terpaksa membuat bayaran deposit kerana bimbang tidak diberi peluang berniaga.

"Dua tahun lepas, kalau tak silap, kita ditawarkan RM650 bagi satu tapak, tetapi tahun ini dengan keadaan pandemik serta ketidaktentuan ekonomi, peserta kena bayar RM1,000," katanya.

Mohd Taufiq berkata, pihaknya faham dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan bilangan khemah dikurangkan kerana perlu laksanakan penjarakan, namun tidak sepatutnya peniaga ditekan dengan sewa tapak yang tinggi.

"Antara kebimbangan peniaga termasuk jumlah pengunjung berkurangan berikutan larangan rentas negeri dan kehadiran kanak-kanak, ia sudah pasti memberi kesan," katanya.

Peniaga, Khairul Musa, 37, berkata, biarpun terkesan dengan sewa tapak yang tinggi, namun, peluang berniaga seperti ini amat dinantikan menyebabkan peniaga berusaha sehabis baik bersaing mendapatkan tempat.

"Kalau diikutkan agak tinggi juga kerana hanya disediakan tapak semata-mata tanpa kemudahan lain, tapi terpaksa, jika tidak ambil, tak boleh berniaga, saya sendiri ambil dua tapak untuk jual minuman dan makanan ringan.

"Dalam masa sama, saya juga bimbang terpaksa tanggung rugi sekiranya pengunjung tak ramai sebab masing-masing masih takut dengan penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Taufiq menunjukkan tapak Uptown Aidilfitri di Taman Kota Baling Jaya yang disewa pada kadar RM1,000.
Mohd Taufiq menunjukkan tapak Uptown Aidilfitri di Taman Kota Baling Jaya yang disewa pada kadar RM1,000.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Anak Baling, Muhammad Lukman Mahmud mempersoalkan apakah rasionalnya peniaga dikenakan sewa tapak yang tinggi sedangkan semua pihak sedar negara masih dalam situasi pemulihan serta ingin bangkit selepas wabak menyerang.

"Saya melihat perkara ini perlu perhatian pihak berkuasa tempatan dengan cara memberi kelonggaran kepada peniaga untuk berniaga setelah apa yang mereka hadapi sebelum ini seperti kehilangan sumber pendapatan sehingga ada yang terpaksa memohon bantuan daripada pihak lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, pemimpin sepatutnya melihat isu itu lebih mendalam tanpa membebankan peniaga sebelum membuat sebarang keputusan.

Sinar Harian turut mendapatkan Yang Dipertua Majlis Daerah Baling (MDB), Mohd Shahadan Abdullah bagi memberi penjelasan tepat berhubung isu tersebut.

Menurut Mohd Shahadan, kadar sewa tapak Uptown Aidilfitri sebanyak RM1,000 di Taman Kota Baling Jaya bukanlah ditetapkan MDB namun bergantung kepada penganjur yang menguruskannya.

"Kita telah membuka tender kepada pembida mengikut zon ditetapkan dan mereka yang terpilih akan menguruskan tapak tersebut, begitu juga dengan kadar sewa bergantung kepada pihak pengurusan tapak.

"Pihak MDB telah menetapkan agar kadar sewa tapak yang ditetapkan penganjur mestilah bawah daripada RM1,000," katanya.

Menurut Mohd Shahadan, tempoh perniagaan yang dibenarkan di Uptown Aidilfitri bermula 24 April sehingga 12 Mei iaitu bersamaan 20 hari bukannya dua minggu.

Mohd Taufiq menunjukkan tapak Uptown Aidilfitri di Taman Kota Baling Jaya yang disewa pada kadar RM1,000.
Mohd Taufiq menunjukkan tapak Uptown Aidilfitri di Taman Kota Baling Jaya yang disewa pada kadar RM1,000.

"Kita faham besar kemungkinan penganjur perlu persiapan tambahan berikutan arahan pematuhan SOP dengan mengupah petugas Rela, menyediakan laluan keluar masuk, cecair pembasmi kuman dan alat pengimbas suhu serta mySejahtera.

"Untuk lebih jelas, peniaga perlu berbincang atau rujuk penganjur bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu itu," jelasnya.