X

Kindly register in order to view this article
!

Harga minyak sawit mentah cecah paras tertinggi: MPOB

Gambar hiasan
A
A

HARGA minyak sawit mentah (MSM) melonjak kepada paras tertinggi RM4,306.50 satu tan pada 21 April lepas berbanding RM4,270 satu tan yang dicatatkan pada 9 April 2021, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga MSM terus merekodkan aliran peningkatan berikutan stok simpanannya yang berkurangan.

“Walaupun inventori meningkat sedikit pada Mac lepas, namun eksport kita terus pulih ketika pengeluaran sebaliknya tidak bertambah seperti dijangkakan berikutan kekurangan tenaga kerja dalam industri itu,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Parveez berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan harga MSM itu adalah kenaikan harga kacang soya yang disifatkan sebagai pemacu penting harga MSM.

Menurut laporan data bulanan MPOB yang dikeluarkan pada hari ke-10 setiap bulan, stok simpanan MSM Malaysia pada Mac lepas meningkat 12.37 peratus kepada 742,742 tan daripada 660,987 tan pada bulan sebelumnya.

Stok minyak sawit diproses juga meningkat sebanyak 9.02 peratus bulan ke bulan kepada 703,228 tan daripada 645,035 tan manakala jumlah simpanan minyak sawit menokok 10.72 peratus bulan ke bulan kepada 1.45 juta tan berbanding 1.31 juta tan sebelum ini.

Menurut MPOB, pengeluaran MSM bertambah 28.43 peratus kepada 1.42 juta tan pada Mac berbanding 1.11 juta tan pada Februari lepas. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!