Media sosial medium kempen terbaik kepada anak muda

Muhammad Suffian (kanan) bersama Raydwin selaku moderator.
Muhammad Suffian (kanan) bersama Raydwin selaku moderator.
A
A
A

SHAH ALAM - Media sosial menjadi medium kempen terbaik kepada anak muda bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Muhammad Suffian Hindi berkata, rakyat perlu menjalani kehidupan normal baharu dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sekiranya pilihan raya berlaku pada bila bila masa dalam masa terdekat ini, medium kempen terbaik adalah daripada sosial media, kita tidak perlu berjumpa atau bersemuka.

"Ditambah pula kehidupan normal baharu ini dipenuhi dengan SOP, penjarakan sosial, sentuhan pun sampai kepada peringkat kadang kadang kita boleh terasa tetapi akhirnya hari ini kita boleh terima.

"Kita jumpa orang tidak salam pun tidak apa. Kita terpaksa mengadakan jarak yang telah ditetapkan dengan harapan kita mampu sama sama membendung Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-250 bertajuk 'PRU15: Pengundi Muda Penentu Nasib Sabah' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM Profesor Dr Awang Azman Pawi dan Naib Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) Rina Jainal juga sebagai panelis, manakala Raydwin Robin bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Muhammad Suffian berkata, UMNO dan BN melihat kempen di media sosial amat penting kerana ia menjadi faktor BN kalah pada PRU14 selepas Pakatan Harapan (PH) menggunakan media sosial untuk menyampaikan berita berniat jahat terhadap parti itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita di peringkat UMNO dan BN melihat perkara ini sangat serius. Kempen di media sosial ini kalau kita lihat kembali, ini juga menyebabkan kita (BN) jatuh.

"PH sebelum ini sebagai pembangkang dapat menumbangkan BN hanya dengan menggunakan media sosial dan menyampaikan berita prasangka jahat, menyampaikan perkara tidak wajar.

"Bezanya kita (BN) hari ini kita cuba menyampai dan mengangkat suara rakyat yang sebenar, isu-isu sebenar," katanya.