Nilai prestasi kerajaan Selangor, Pulau Pinang yang dikuasai PH

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika berucap pada Program Santai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEMENYIH - Pengundi di DUN Semenyih, yang bakal mengundi pada PRK DUN itu 2 Mac nanti, perlu melihat kepada prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang bagi menilai kemampuan PH melaksanakan usaha pembangunan di sesuatu kawasan.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari berkata, pentadbiran dan pengurusan ekonomi dua kerajaan negeri yang telah lama dikuasai oleh PH, yang sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang berada di bawah pentadbiran BN.

"Nak nilai prestasi PH kita jangan tengok pada prestasi kerajaan pusat kerana kita baru sembilan bulan berkuasa, pengundi perlu lihat kepada pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang.

"Walaupun dahulu kita diserang dengan pelbagai isu tetapi kita tetap menjadi negeri yang terbaik, seperti contoh kadar pembangunan ekonomi bagi Selangor pada 2017 adalah 7.1 peratus, lebih tinggi dari pembangunan ekonomi kerajaan pusat pada 5.9 peratus," katanya pada majlis santai bersama penduduk Apartment Baiduri Bandar Tasik Kesuma di sini hari ini.

Turut hadir calon PH bagi PRK berkenaan, Muhammad Aiman Zainali.

Dalam ucapannya juga, Amirudin berharap pengundi Semenyih dapat mengekalkan kawasan berkenaan di bawah PH kerana ia bakal memberi pelbagai kemudahan kepada mereka.

"Muhammad Aiman jika dipilih dia bila-bila masa boleh datang ke pejabat saya, pejabat Exco malah ke pejabat menteri-menteri jika ingin mengadu masalah yang dihadapi oleh masyarakat di sini, berbeza wakil parti yang lain jika mereka dipilih.

Bukan saya tidak mahu jumpa tetapi mereka mungkin malu untuk meminta tolong," katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi daripada BN, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung. Allahyarham bertanding di bawah tiket Bersatu mewakili PH dalam PRU14. - Bernama