Kukuhkan agama mantapkan integriti polis

Abd Razak (depan, dua dari kanan) menyantuni dan mendekati warga PDRM yang bertugas di Daerah Hulu Perak pada Selasa.
Abd Razak (depan, dua dari kanan) menyantuni dan mendekati warga PDRM yang bertugas di Daerah Hulu Perak pada Selasa.
A
A
A

PENGKALAN HULU - Pengukuhan ilmu agama dan penyampaian dakwah berkesan merupakan sebahagian usaha pemantapan etika dan integriti dalam kalangan saudara baharu orang asli Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Abd Razak Elias berkata, mendekati anggota yang bertugas di sempadan negara itu antara yang menjadi tumpuan dalam menyemarakkan aktiviti Ramadan.

Menurutnya, pelaksanaan program itu membuka ruang kepada mereka agar terus istiqamah mengenal Islam secara lebih mendalam.

"Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) menyantuni dan mendekati anggota ini agar dapat menerapkan kesejahteraan psikologi holisitik dan jati diri yang utuh dalam aspek kerohanian dan keagamaan.

"Dalam memperkasakan integriti, elemen penghayatan Islam dan mengenal ALLAH adalah penting agar selari dalam setiap penugasan kita," katanya ketika ditemui pada program 'Outreach' Ihya Ramadan JIPS Bukit Aman di Kem Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, lebih 75 bakul rezeki dan baucar barangan sekolah diagihkan kepada anggota dalam kalangan orang asli yang juga asnaf.

Sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Koperasi Diraja Malaysia Berhad itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada warga PDRM yang memerlukan menerusi wang agihan semula zakat (wakalah).

Abd Razak tidak ketinggalan menyampaikan juadah sahur kepada anggota polis yang bertugas di Balai Polis Ayer Panas, Klian Intan dan Pengkalan Hulu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tahunan itu diteruskan dengan mengadakan tadarus, solat sunat tarawih dan iftar bersama sempena Ramadan ini.

"Program sebegini akan terus diadakan mengikut keadaan semasa pandemik Covid-19 dalam mendekati warga PDRM yang memerlukan," katanya.