Mahkamah selesai dengar rayuan kes Tengku Adnan

Tengku Adnan T(tengah) tiba di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan. - Foto Bernama
Tengku Adnan T(tengah) tiba di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis selesai mendengar rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Terdahulu mahkamah menetapkan tiga hari bermula Khamis untuk mendengar rayuan Tengku Adnan itu, namun prosiding yang bermula pukul 9.55 pagi tamat pada pukul 12.52 tengah hari selepas peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan sebagai perayu dan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Musa selesai dengan hujah-hujah mereka.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusannya berhubung rayuan Tengku Adnan, 70, atau lebih dikenali ramai dengan nama Ku Nan itu ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suraya Othman berkata, mahkamah akan mengambil masa bagi menimbangkan perkara itu dan akan memaklumkan pihak yang berkenaan sebaik sahaja pihaknya telah menetapkan tarikh yang tepat.

"Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengemukakan hujah masing-masing. Selepas menimbangkannya, kami memutuskan yang kami perlukan masa untuk membuat sedikit kajian sebelum memuktamadkan keputusan,” katanya.

Dua lagi hakim ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 21 Disember lepas, Tengku Adnan dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan denda RM2 juta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Hock Chuan dalam hujahnya berkata saksi utama pendakwaan, Kin Kong memberikan keterangan yang jelas dalam pemeriksaan utama bahawa beliau telah mengeluarkan satu cek sebagai derma politik kepada UMNO bagi pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Dalam keterangan saksi, Kin Kong (saksi pendakwaan ke-19) berkata, RM2 juta itu adalah sumbangan beliau kepada Tengku Adnan selepas diberitahu bahawa dia (Tengku Adnan) memerlukan dana politik antara RM5 juta dan RM6 juta bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu.

"Tan Sri Chai (Kin Kong) turut mengesahkan bahawa jumlah RM2 juta itu adalah derma politik kepada UMNO dan bukannya kepada perayu (Tengku Adnan)," katanya dan menambah pertuduhan itu tidak berjaya menampilkan bukti tanpa keraguan yang munasabah dan perayu seharusnya dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan.

Hock Chuan turut berhujah bahawa hakim perbicaraan Mohamad Zaini Mazlan melakukan kesilapan besar apabila beliau membawa fahaman peribadinya dengan mengatakan bahawa resit UMNO adalah 'baharu', sedangkan tidak ada bukti mengenai perkara itu.

Sementara itu, Asmah berhujah, Tengku Adnan telah memperoleh RM2 juta untuk kepentingan diri sendiri dan bukan sumbangan politik apabila wujudnya ketiadaan rekod yang teratur berdasarkan resit diperoleh mengenai pemberian dana itu kepada UMNO.

Beliau berhujah keterangan bahawa wang itu untuk derma politik hanya timbul semasa pemeriksaan balas saksi keenam pendakwaan iaitu Ketua Pegawai Operasi Tadmansori, Datuk Mohd Hasbi Jaafar dan tidak pernah dimaklumkan kepada pegawai siasatan ketika siasatan berlangsung.

"Pendakwaan berhujah Kin Kong (SP19) hanya dimaklumkan tujuan dana oleh tertuduh tetapi tidak tahu sama ada wang itu benar-benar digunakan sebagai dana politik. Justeru tiada keperluan untuk menyoal semula saksi mengenai isu sumbangan politik itu," katanya. - Bernama