Darurat bolehkan pengurusan Covid-19 dijalankan dengan baik

Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Datuk Seri Hamzah Zainudin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perisytiharan darurat telah membolehkan pengurusan Covid-19 di Malaysia dijalankan dengan baik, antaranya menerusi pindaan beberapa akta khusus bagi membendung penularannya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menegaskan kerajaan tidak mempunyai agenda tersembunyi dalam pengisytiharan darurat itu, Hamzah berkata, antara akta yang dipinda ialah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 bagi memastikan kemudahan perumahan untuk pekerja asing.

“Kalau tiada (darurat), mungkin semua ini tidak dapat dilakukan dan kemungkinan besar kita tidak dapat turunkan kes Covid-19 secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini pada Khamis bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Hamzah berkata demikian sebagai mengulas tindakan Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat yang menghantar surat kedua kepada Istana Negara pada Selasa lepas memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah memorandum mendesak darurat ditamatkan.

Pada 12 Januari lepas, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: